Wednesday, August 29, 2018

KENALI BOLA BOLING

Kesemua bola boling mempunyai diameter 29.6 cm dan mempunyai berat dari 6lb sehinggalah ke berat maksima yang dibenarkan iaitu 16lb. Terdapat pelbagai jenis jenama  di pasaran dan kebanyakannya dibuat di USA. Antara jenama bola yang terkemuka di Malaysia adalah :-







i) Storm
ii) Columbia
iii) Brunswick
iv) Ebonite
v) Track
vi) AMF
vii) Dyno Thane
viii) Morich

Jenis-jenis bola yang terdapat di pasaran juga biasanya diklasifikasikan lagi mengikut jenis material yang digunakan dalam pembuatan bola tersebut.

i) Plastik/Polyester – Bola ini diperbuat dari polyester dan kebiasaanya di Malaysia ia dipanggil sebagai Bola Plastik. Mula diperkenalkan sejak tahun 1960’an, bola jenis ini mempunyai kos yang efektif jika dibandingkan dengan jenis bola yang lain dan tahan lebih lama. Ia tahan lama kerana permukaannya yang lebih keras dan kurang geseran. Sifat ‘kurang geseran’ bola ini menyebabkan ia kurang tergelincir (skid) dan akan meluncur lebih lurus.

Bola jenis ini amat sesuai bagi mereka yang baru menceburi sukan boling kerana harganya yang berpatutan. Bola polyester yang baru boleh dibeli pada harga sekitar RM180-RM220. Bola polyester juga digunakan oleh pemain ‘hook’ sebagai bola spare kerana sifatnya yang kurang melencong (hook).

ii) Urethane – Dalam usaha untuk menghasilkan bola yang lebih baik, pembuat bola boling pada penghujung 1970’an telah mencuba untuk menghasilkan bola yang dibuat dari material polyurethane untuk menghasilkan lebih hook. Oleh kerana urethane ini lebih lembut dari polyester maka ia akan lebih tergelincir (skid) dan akan lebih hook.

Permukaan bola ini boleh dilicinkan (sanded) dan dikilatkan (polished) untuk menambah atau mengurangkan kesan hook. Bola urethane lebih disukai oleh mereka yang baru belajar main hook. Ia sesuai untuk digunakan di lorong yang kurang berminyak (light-oiled lane).

iii) Reactive – Pada awal 1990’an pengeluar bola boling mula menambah resin particle kepada bola urethane. Resin ini membuat bola ini lebih hook dari bola urethane. Bagaimanapun bola jenis ini akan lebih tergelincir dalam minyak jika dibandingkan dengan bola urethane. Kombinasi faktor bola ini lebih tergelincir dan lebih geseran membuatkan bola jenis ini lebih hook dan lebih impak ke atas pin jika dibanding dengan bola-bola jenis lain yang datang sebelumnya. Oleh itu, resin reactive ini lebih disukai oleh pemain yang sudah mahir untuk digunakan dalam kesemua jenis keadaan lorong.

iv) Particle – Oleh kerana bola urethane mendapat sambutan, pengeluar bola membuat keputusan untuk menambah partikel seperti seramik dan kaca untuk menambah kemampuan bola. Penambahan partikel telah menambah geseran bola dan memberi lebih cengkaman bola dalam minyak untuk memberi hook yang lebih mudah dikawal dan lebih sempurna. Potensi hook (hook potential) untuk bola partikel adalah lebih tinggi dari bola-bola jenis lain. Oleh kerana bola jenis particle adalah lebih agresif kebanyakan bola particle digunakan dalam keadaan lorong yang berminyak sahaja.

Tuesday, July 10, 2018

PERALATAN BOLING

Bola boling 
Berat dari 8 pound hingga ke 16 pound. Terdapat tiga lubang untuk meletakkan jari. 3 jari yang digunakan ialah ibu jari, jari tengah dan jari manis.

Pin 
Terdiri dari 10 pin yang berbentuk seperti botol. Diatur supaya berbentuk segitiga dengan pin nombor 1 terletak di hujung bawah dan pin nombor 10 terletak di bahagian atas sebelah kanan.

Lorong (Lane)
Panjang 60 kaki dengan bentuk anak panah terdapat di atas lorong tersebut bagi memudahkan pemain untuk menentukan arah balingan mereka.

Kasut & Stokin
Kasut dan stokin yang sesuai dan selesa harus digunakan oleh pemain. Namun begitu, terdapat kasut khas untuk pemain boling bagi memudahkan pembalingan dan memelihara kawasan balingan dan lorong boling. Kasut khas ini juga perlu dipakai oleh setiap pemain.

Tuesday, July 3, 2018

TIPS MEMBELI BOLA BOLING PERTAMA

Memiliki bola boling sendiri banyak kelebihannya. Antaranya pemain tidak perlu berebut untuk mendapatkan "house ball" yang sesuai di tempat boling, lubang bagi bola sendiri ditebuk mengikut saiz jari dan lebar tapak tangan kita, bola sendiri bersih dan dijaga rapi dan lain-lain. Berikut beberapa cadangan yang boleh diikuti bagi mereka yang ingin membeli bola sendiri :


Berat
Kesesuaian bola bergantung kepada berat badan dan kekuatan seseorang pemain. Bola tidak boleh terlalu berat atau terlalu ringan. Bola terlalu berat boleh mengakibatkan pemain cepat letih. Terlalu ringan pula menyebabkan bola menjadi laju dan tidak cukup tenaga untuk menjatuhkan pin. Secara tipikal, berat boleh hendaklah 10% daripada berat badan pemain. Bagi yang tidak memiliki kudrat tangan yang minimum, mereka boleh mengambil bola yang lebih ringan namun perlu diselaraskan dengan tenaga dan momentum semasa bermain. Berat bola dikira dalam paun (lb) dan bukannya kilo (kg).

Stail
Terdapat banyak cara ataupun stail seseorang yang ditampilkan dalam permainan boling. Ada orang yang bermain secara straight dan ada juga yang bermain secara spinner. Terdapat juga mereka yang bermain secara hook dan ia banyak dilihat dalam kebanyakan kejohanan yang dianjurkan di pelbagai peringkat. Bermain secara hook memerlukan bola dengan RG Diff yang agak tinggi. Diff yang tinggi bermaksud bola tu akan lebih "hooking". Bagi yang baru berjinak-jinak untuk bermain hook, mereka boleh mendapatkan bola yang bersifat "low performance".

Bagi pemain straight pula, mereka boleh menggunakan bola plastik (plastic ball). Bola ini sangat bagus untuk melakukan balingan spare kerana ia akan meluncur secara lurus. Mendapatkan strike menjadi keutamaan oleh pemain dalam setiap balingan kerana mata yang diberikan namun spare adalah penentu dalam kemenangan sesebuah pertandingan.

Kewangan
Faktor ketiga ini dianggap penting dalam menentukan bola yang bakal dimiliki bergantung kepada tahap kewangan seseorang dan minat. Sekiranya pemain sekadar bermain untuk tujuan beriadah atau "suka-suki" di samping bergembira, cukuplah baginya berpuashati dengan sebiji bola plastik. Tapi andai dia bermain untuk memasuki pertandingan yang bakal dianjurkan atau memang minatnya yang tinggi dalam sukan tersebut, belanjalah lebih sedikit untuk mengeluarkan sebiji bola yang agak istimewa sesuai dengan jenama dan bajet.  

Bola hook agak mahal kerana ia mempunyai "isi" di dalamnya berbanding bola plastik. Bagi mereka yang mempunyai lebihan wang, ambillah dua biji bola dengan salah satunya bola hook. Bola hook digunakan untuk melakukan strike sementara bola plastik ditugaskan untuk menghabisi "spare".                                       


Wednesday, June 13, 2018

Cara Baling Bola Boling dengan Betul!

Jom kita saksikan dan pelajari cara membuat balingan yang betul berpandukan video ini. Terima kasih kepada pemilik video tersebut.


Friday, May 4, 2018

MENGENAI PERMAINAN BOLING

Matlamat Utama dalam permainan boling adalah untuk mendapatkan skor tertinggi semaksimum yang boleh dengan menjatuhkan 10 pin dalam 1 balingan atau sekurang-kurangnya dalam 2 balingan bagi setiap "frame". Markah maksimum bagi 1 permainan adalah 300.

Setiap permainan boling dibahagikan kepada 10 frame. Untuk setiap frame, pemain dibenarkan melakukan 2 balingan sekiranya balingan pertama tidak berjaya menjatuhkan kesemua pin.

Jika pemain berjaya menjatuhkan keseluruhan pin dalam balingan pertama ia disebut sebagai "Strike". Markah sebanyak 300 akan diperoleh oleh pemain jika dia berjaya melakukan 12 kali strike berturut-turut (9 strike untuk 9 frame awal dan 3 strike untuk frame ke 10). Situasi sebegini disebut sebagai "Perfect Game".

Sekiranya pemain berjaya menjatuhkan baki pin dalam balingan kedua dari balingan pertama, ia disebut sebagai "Spare". Namun, jika selepas balingan kedua, pemain masih gagal menjatuhkan baki pin atau kesemuanya, frame itu dikira sebagai "Open".

Untuk frame ke 10, pemain dibenarkan melakukan balingan ketiga sekiranya berjaya melakukan strike atau spare dalam 2 balingan sebelumnya.

Friday, April 20, 2018

Bermain Boling Dengan Dua Tangan

PERNAHKAH anda melihat orang bermain boling dengan menggunakan kedua belah tangan?. Ya, jika pernah anda sememangnya peminat tegar sukan boling kerana orang yang tiada minat seringkali tidak ambil peduli atau perasan dengan teknik ataupun stail yang digunakan pemain tersebut semasa bermain.

Sebenarnya dalam sukan boling tiada peraturan khusus yang menggariskan tentang keharusan menggunakan satu tangan ketika membuat balingan ataupun cara balingan yang tetap. Asalkan anda mampu bermain tanpa membazirkan satu pin pun untuk terpacak di hujung lane, permainan itu sudah boleh dianggap berjaya. Mungkin dari segi teknik ia dipandang sebagai tidak profesional, tapi itu cuma tanggapan dan persepsi orang.

Semasa perlawanan boling di Amerika, seorang pemain bernama Jason Belmonte (info lanjut - https://en.wikipedia.org/wiki/Jason_Belmonte) telah melakukannya. Seorang lagi pemain dua tangan dikenali sebagai Osku Palermaa (info lanjut - https://en.wikipedia.org/wiki/Osku_Palermaa) turut menggunakan teknik ini.

Tips-tips untuk bermain cara ini boleh ditemui di laman berikut ( http://www.bowlingthismonth.com/bowling-tips/training-two-handed-players/ ).


Tuesday, April 17, 2018

STAIL DALAM BALINGAN BOLING

Dalam permainan boling, terdapat banyak gaya ataupun stail yang dipamerkan oleh para pemain. Antaranya adalah stoking, spinning, tweening dan lain-lainnya.

Stroking
Stroking adalah gaya secara bola dilepaskan dengan lancar. Kebiasaannya penggaya ini akan mempastikan bahu mereka selari dengan garisan foul dan backswing mereka tidak terlalu tinggi. Mereka yang menggunakan gaya stroker lebih mementingkan ketepatan berbanding kuasa yang dilepaskan.
                       
Cranking
Untuk menghasilkan revolusi dari jenis gaya cranker, pemain boling pada kebiasaanya akan banyak bergantung kepada pergerakan pada pergelangan tangan. Mereka akan menggunakan backswing yang tinggi dan menjarakkan bahu mereka untuk mendapatkan kelajuan bola yang diperlukan.

Tweening
Tweening adalah gaya yang berada di antara stroking dan cranking. Mengadunkan gaya dari stroking dan cranking boleh dilakukan. Power stroking adalah antara variasi tweening  yang mana kelajuan dan revolusi bola boleh dihasilkan dari gaya cranking dan dengan gaya yang lancar seperti menggunakan gaya stroking.

Spinning
Gaya yang popular di Asia adalah spinning iaitu bola akan bergerak tegak tetapi berputar pada axis X. Matlamat spinning adalah supaya bola boleh bergerak tegak sehingga menyentuh pin satu (1). Putaran bola pada axis X akan menghasilkan pergerakan bola ke arah yang berlawanan dan menyebabkan pin berlaga sesama sendiri.

Shoveling
Teknik ini dilakukan pemain dengan cara ibu jari tidak dimasukkan ke dalam lubang. Ia menghasilkan revolusi yang amat tinggi dan selalunya mereka menggunakan kedua–dua belah tangan atau distabilkan menggunakan lengan apabila pemain boling tersebut menggunakan backswing dengan siku yang dibengkokkan.

Thursday, March 15, 2018

Tatacara Permainan Boling

Walaupun permainan boling adalah lebih kepada permainan yang bersifat santai, ia tetap mempunyai peraturan dan tatacara tertentu yang harus dihormati. Ia dirangka bagi membantu pemain untuk lebih berdisiplin serta melancarkan permainan mereka.

Berikut adalah beberapa tatacara yang harus diikuti oleh para pemain :


Dapatkan buku atau info di tempat boling anda (jika ada) atau layari internet untuk mengetahui peraturan khusus di tempat anda bermain.












Anda disarankan hanya mengenakan kasut khas boling semasa bermain bukannya kasut jalanan. Kasut ini boleh disewa atau anda membawanya sendiri jika ada.











Jangan membuat balingan tanpa melihat terlebih dahulu ke arah pin. Terkadang pemain terus membuat balingan semasa mesin masih memproses pin yang boleh mengakibatkan berlaku pelanggaran bola pada penghadang muka pin.









Beri laluan kepada pemain bersebelahan anda untuk melakukan balingan terlebih dahulu tanpa melakukannya secara serentak. Ataupun, anda  membiarkan dia membuat balingan jika dia terlebih dahulu mempersiapkan diri ke arah itu.










Jangan meletakkan kaki anda melewati garis busuk (foul line) sekalipun anda bermain secara santai. Harus diingatkan bahawa boling juga diklasifikasikan sebagai sukan olahraga yang berprestij tinggi. Oleh itu, bermainlah secara profesional berbekalkan semangat kesukanan yang tinggi.









Bola boling hanya boleh digolekkan di atas permukaan lorong boling sahaja. Jangan melontar, melempar atau melambungkan bola itu kerana ia boleh merosakkan lane dan bola itu sendiri.










Jangan bermain atau menggolekkan bola di lorong pemain lain. Bermainlah di lorong anda sendiri. Jika bermain secara cross lane, anda harus mempastikan lorong yang betul berdasarkan nama anda dan anak panah yang ditunjukkan oleh skrin.









Mintalah izin jika anda ingin menggunakan bola milik pemain lain.













Tidak membuat bising atau mengganggu pemain lain ketika mereka sedang bermain. Kendalikan ucapan anda dengan sebaiknya serta berusahalah untuk tidak melakukan provokasi dan sebagainya.










Bersiap sedialah apabila tiba saat anda melakukan balingan. Jangan bermain secara "slow bowling" lebih-lebih lagi jika anda bermain dalam sesebuah kejohanan.











Berusahalah sedaya upaya untuk mencatat skor tertinggi dalam setiap permainan walaupun boling lebih mementingkan disiplin iaitu "skill not score".

Sunday, February 11, 2018

5 Tips Persediaan Untuk Bermain : 5 Jenguk Lorong Anda

Tentukan lorong anda sebelum memulakan permainan. Di sesetengah tempat boling, anda dibenarkan memilih untuk berada di lorong pilihan anda. Itupun jika keadaan lorong tidak sesak dengan para pemain atau anda memang seorang ahli berdaftar yang dibolehkan berbuat demikian.

Ia amat digalakkan kerana anda dapat bermain dengan lebih "enjoy" dan jauh dari orang yang mungkin boleh menyebabkan gangguan atau kebisingan. Jika tidak perlu, anda boleh saja duduk di mana-mana lorong yang diberikan oleh pihak boling walaupun keadaan di situ penuh dengan riuh rendah serta sorakan penonton dan sebagainya dan anda telahpun terbiasa dengan situasi itu.


Friday, February 9, 2018

5 Tips Persediaan Untuk Bermain : 4 Dapatkan Bola Yang Sesuai



Pilih bola yang tepat sebelum anda mula bermain. Ketepatan pemilihan bola tersebut haruslah disesuaikan dengan berat badan anda. Ukuran jari dari segi "muat dan selesa dalam lubang" juga hendaklah diambilkira dalam pemilihan bola.

Anda perlu mencari bola yang beratnya sesuai dengan anda. Kebiasaannya, setiap bola akan dilabel berdasarkan beratnya seperti bola yang tertera angka "8" memberi maksud bahawa beratnya adalah 8 paun (4 kg). Label bola ini hanya terpakai untuk bola di pusat boling itu sahaja iaitu disebut sebagai "houseball". Bagi bola yang dibeli sendiri oleh pemain, label tersebut tidak dicetak di permukaannya.

Di sini diberikan beberapa cadangan dan panduan untuk anda :

1. Berat.

Bola 14-16 paun (7-8 kg) adalah sesuai untuk pemain lelaki dewasa sementara bola 10-14 paun (5-7 kg) sesuai untuk wanita dewasa, Tuntasnya, adalah lebih baik untuk memiliki bola yang lebih berat kerana ia akan membantu momentum dalam permainan anda. Peraturan secara umumnya adalah berat bola seharusnya 10% daripada berat sebenar badan anda. Jika berat badan anda 140 paun (70 kg), anda haruslah menggunakan bola 14 paun (7 kg). Bagaimanapun, terpulang kepada anda untuk menentukan berat bola sesuai dengan kemampuan dan keselesaan semasa bermain.

2. Ukuran Lubang Jari.

A. Untuk ibu jari, anda seharusnya memastikan ia muat dan sedikit sempit untuk lubang yang dikhaskan untuk ibu jari. Harus dipastikan bahawa anda boleh mengeluarkannya tanpa terluka atau tersangkut. Namun begitu, lubangnya juga tidak patut begitu besar sehingga anda boleh menggerak-gerakkan ibu jari di dalam lubang itu semasa memegangnya.

B. Ukuran lubang bagi jari tengah (jari hantu) dan jari manis adalah sama seperti ibu jari cuma cara memasukkannya adalah secara membengkokkan sedikit. Lubangnya adalah di tengah-tengah bola iaitu dua lubang yang terdapat di sebelah satu lubang yang dikhaskan untuk ibu jari.

Nota : Cara ibu jari, jari hantu dan jari manis berada di dalam lubang bola adalah berbeza dari segi kedalaman dan cengkaman mengikut cara pemain bermain dan bola itu sendiri yang digunakan untuk bermain hook, spinner atau straight.

Wednesday, February 7, 2018

5 Tips Persediaan Untuk Bermain : 3 Dapatkan Kasut Yang Sesuai

Dapatkan kasut boling. Itulah yang sepatutnya dilakukan sebelum anda memulakan permainan. Jika anda sebagai orang baharu dalam sukan ini, anda boleh mendapatkan kasut boling dengan cara menyewa di tempat boling.

Namun, jika anda ingin meningkatkan prestasi permainan ke tahap yang lebih baik dan yakin, kasut boling sendiri kepunyaan anda harus dimiliki.

Satu perkara yang harus diingatkan bahawa kasut yang selain kasut khas yang digunakan di tempat bermain boling seperti kasut jalanan adalah sangat tidak sesui untuk dipakai. Ini adalah kerana ia direka bukan untuk berada di tempat boling bahkan boleh menyebabkan kerosakan yang bakal terjadi di lantai permainan. Lebih teruk lagi, ia boleh membawa kecelakaan kepada anda jika anda terseret ataupun tergelincir serta boleh mencederakan diri disebabkan permukaan bawah kasut yang tidak licin serta tidak mempunyai kriteria kasut yang dikhaskan untuk boling seperti boleh meluncur dan sebagainya.

Dalam pada itu, dengan tidak memakai kasut boling yang ditetapkan anda boleh atau telah dengan sengaja merosak dan meninggalkan kesan di lantai boling. Sewa kasut boling jika anda tidak mahu berhadapan masalah dengan pusat boling dek keengganan anda itu. Akhir sekali selepas anda mendapatkan kasut yang sesuai, anda haruslah memakai stokin bagi mengelakkan keseronokan bermain terbantut kerana kaki yang melecet.

Monday, February 5, 2018

5 Tips Persediaan Untuk Bermain : 2 Bertanya Di Kaunter

Langkah kedua apabila anda telah membuat keputusan untuk bermain di sesebuah venu yang dipilih adalah bertanya di kaunter sama ada anda boleh bermain ataupun tidak. Terkadang di sesuatu tempat boling itu, gelanggang ditutup untuk memberi laluan kepada kejohanan dan sebagainya hingga menyebabkan anda terhalang untuk bermain.

Jika anda dibenarkan untuk bermain, maka anda bolehlah bermain secara berseorangan ataupun berduaan atau beramai-ramai andai anda datang bersama satu kumpulan yang besar.

Dalam pada itu, anda juga boleh menyertai kumpulan lain yang anda tidak kenali untuk bermain bersama mereka. Namun sebelum itu, anda harus pastikan mereka tidak bermain secara ataupun terlalu kompetetif kerana anda mungkin baharu dalam sukan tersebut. Jika tidak, ayuhlah berentap bersama mereka kerana mungkin anda boleh mendapatkan kenalan baru dengan cara itu.

Saturday, February 3, 2018

5 Tips Persediaan Untuk Bermain : 1 Cari Venu Yang Sesuai

Perkara pertama yang harus dilakukan oleh seseorang untuk bermain boling adalah mencari gelanggang ataupun venu yang paling sesuai baginya untuk bermain.

Layari internet ataupun turun untuk meninjau kawasan ataupun bertanya kenalan dan orang sekeliling di manakah terdapatnya lane ataupun gelanggang boling yang terdekat ataupun terbaik sesuai dengan kemampuan dan keinginan anda.

Usahakan mencari tempat yang menawarkan latihan boling atau memiliki liga boling bagi seseorang yang baru berjinak-jinak untuk bermain.

Saturday, January 27, 2018

5 ASAS BOLING : 5 Fahami Skor (Cara Mata Diberikan)

Untuk  setiap strike, matanya adalah 10 + jumlah jatuhan pin untuk dua balingan   seterusnya.

Contoh:
Frame 1 – 10 (Strike) mata = 10 + ? + ?
Frame 2 – 8 mata
Frame 2 – 1 mata = 8 + 1

Dengan itu, jumlah mata bagi frame 1 adalah 10 + 8 + 1 = 19.

Untuk setiap spare pula, markahnya adalah 10 + jumlah jatuhan pin untuk satu balingan   seterusnya.

Contoh :
Frame 1 – 8
Frame 1 – 2 (Spare) mata = 10 + ?
Frame 2 – 7 mata
Frame 2 – 2 mata 7 + 2

Jumlah markah bagi frame 1 adalah 10 + 7 = 17.

Pada paparan skrin, strike akan ditunjukkan dengan simbol X sementara spare dengan simbol /.

Contoh pengiraan mata :








Frame 1: 9 + 1 + 10 = 20
Frame 2: 10 + 8 + 2 = 20
Frame 3: 8 + 2 + 7 = 17
Frame 4: 7 + 1 = 8
Frame 5: 10 + 10 + 7 = 27
Frame 6: 10 + 7 + 3 = 20
Frame 7: 7 + 3 + 10 = 20
Frame 8: 10 + 10 + 10 = 30
Frame 9: 10 + 10 + 9 = 29
Frame 10:10 + 9 + 1 = 20

Jumlah mata / skor = 211

Dalam pada itu, jika anda tidak berjaya melakukan sebarang strike ataupun spare, mata yang anda perolehi adalah mengikut berapa jumlah pin yang anda jatuhkan dalam balingan itu tanpa merujuk kepada balingan seterusnya. Lebih malang lagi jika anda tidak memperoleh apa-apa mata dek kerana pin itu terlalu sukar untuk anda taklukinya.


Nota: Jangan runsing, semakin kerap anda bermain boling, semakin pandai anda mengira markah nanti.

Thursday, January 25, 2018

5 ASAS BOLING : 4 Fahami Susunan (Frame)

Pemain harus mengetahui bagaimana berjalannya sesebuah permainan boling. Setiap permainan boling terdiri dari 10 susunan (frame). Setiap susunan setara dengan satu giliran untuk setiap pemain. 

Setiap pemain hendaklah menjatuhkan pin sebanyak mungkin dalam satu susunan. Adalah lebih bagus jika dia dapat menjatuhkan keseluruhan pin dalam balingan pertama. 

Pemain dibenarkan untuk melempar bola dua kali dalam setiap susunan selagi mana dia tidak mendapatkan strike.

Tuesday, January 23, 2018

5 ASAS BOLING : 3 Fahami Istilah Khas

Dalam permainan boling terdapat beberapa istilah khas yang perlu diketahui oleh pemain. Ia sangat membantu pemain untuk memahami peraturan permainan, bagaimana mata diberikan, cara mengira skor dan sebagainya.

Berikut adalah istilah-istilah yang harus difahami :

1. "Strike" adalah ketika anda menjatuhkan kesemua pin sekaligus pada balingan pertama.

2. "Spare" adalah ketika anda menjatuhkan atau menghabiskan baki pin atau kesemua pin pada balingan kedua.

3. "Split" akan terjadi ketika bola mengenai pin 1 iaitu head pin pada balingan pertama. Kes sebegini biasanya akan mengakibatkan terjadi rongga di antara pin yang tertinggal sama ada pin 7 dan 10 ataupun pin 7 dan 9 ataupun pin 8 dan 10 dan lain-lainnya. Dalam formasi ini, sulit bagi seseorang pemain mendapatkan spare terutama jika dia memiliki split 7-10 yang merupakan split yang paling susah untuk dijatuhkan.

4. "Turkey" merupakan 3 kali strike dilakukan berturut-turut.

5. "Open Frame" berlaku jika pemain tidak berjaya menjatuhkan sebarang pin dalam balingannya.

Sunday, January 21, 2018

5 ASAS BOLING : 2 Fahami Pin

Langkah seterusnya adalah memahami apa itu pin boling. Dalam permainan boling moden, sebanyak 10 pin akan diatur pada hujung lorong boling pada awal setiap balingan pertama. Pin diatur dalam formasi segitiga dengan sudut kepala segitiga menghadap ke arah pemain.

Terdapat satu pin di baris depan yang disebut sebagai head pin ataupun kepala pin. Dua pin akan diletakkan pada baris kedua dan tiga pin pula pada baris ketiga. Sementara empat pin akan disusun pada baris keempat iaitu di belakang sekali.

Setiap pin telah dinomborkan dengan pin 1 yang paling hadapan dikuti dengan pin 2 dan 3 kemudian 4,5 dan 6 seterusnya 7,8,9 dan 10. Kesemua pin dikira dari kiri ke kanan bagi menentukan nombornya. Pemain akan mendapat skor dengan setiap pin yang dijatuhkan berdasarkan lokasi bukannya nilai pin itu.

Friday, January 19, 2018

5 ASAS BOLING : 1 Mempelajari Jalur Boling

Sebelum anda mula bermain, fahami dahulu apa itu jalur boling. Dalam erti kata lain anda harus mengetahui fungsi jalur boling. Jalur boling juga disebut sebagai lorong ataupun lane. Ia berukuran sepanjang 18.288 meter dari garis impak pelanggaran iaitu garis yang paling dekat dengan pemain dan menuju ke kepala pin (head pin) iaitu pin yang paling dekat dengan pemain. Terdapat longkang di sisi kiri dan kanan lane. Jika bola tersasar keluar dari jalur boling, ia akan masuk ke dalam longkang dan pemain akan mendapat skor kosong atau kehilangan mata dalam frame tersebut (-).

Kawasan untuk pemain melakukan balingan atau ansur maju adalah sepanjang 4.572 meter dan berakhir di garis awal jalur boling (lane) ataupun foul line. Pemain tidak boleh melangkah keluar dari garis itu ketika melakukan balingan atau lemparannya terbatal.

Jika bola masuk ke dalam longkang semasa menuju ke arah pin kemudian melompat keluar semula dan mengenai pin, balingan atau mata tersebut tidak dikira.