Tuesday, July 10, 2018

PERALATAN BOLING

Bola boling 
Berat dari 8 pound hingga ke 16 pound. Terdapat tiga lubang untuk meletakkan jari. 3 jari yang digunakan ialah ibu jari, jari tengah dan jari manis.

Pin 
Terdiri dari 10 pin yang berbentuk seperti botol. Diatur supaya berbentuk segitiga dengan pin nombor 1 terletak di hujung bawah dan pin nombor 10 terletak di bahagian atas sebelah kanan.

Lorong (Lane)
Panjang 60 kaki dengan bentuk anak panah terdapat di atas lorong tersebut bagi memudahkan pemain untuk menentukan arah balingan mereka.

Kasut & Stokin
Kasut dan stokin yang sesuai dan selesa harus digunakan oleh pemain. Namun begitu, terdapat kasut khas untuk pemain boling bagi memudahkan pembalingan dan memelihara kawasan balingan dan lorong boling. Kasut khas ini juga perlu dipakai oleh setiap pemain.

Tuesday, July 3, 2018

TIPS MEMBELI BOLA BOLING PERTAMA

Memiliki bola boling sendiri banyak kelebihannya. Antaranya pemain tidak perlu berebut untuk mendapatkan "house ball" yang sesuai di tempat boling, lubang bagi bola sendiri ditebuk mengikut saiz jari dan lebar tapak tangan kita, bola sendiri bersih dan dijaga rapi dan lain-lain. Berikut beberapa cadangan yang boleh diikuti bagi mereka yang ingin membeli bola sendiri :


Berat
Kesesuaian bola bergantung kepada berat badan dan kekuatan seseorang pemain. Bola tidak boleh terlalu berat atau terlalu ringan. Bola terlalu berat boleh mengakibatkan pemain cepat letih. Terlalu ringan pula menyebabkan bola menjadi laju dan tidak cukup tenaga untuk menjatuhkan pin. Secara tipikal, berat boleh hendaklah 10% daripada berat badan pemain. Bagi yang tidak memiliki kudrat tangan yang minimum, mereka boleh mengambil bola yang lebih ringan namun perlu diselaraskan dengan tenaga dan momentum semasa bermain. Berat bola dikira dalam paun (lb) dan bukannya kilo (kg).

Stail
Terdapat banyak cara ataupun stail seseorang yang ditampilkan dalam permainan boling. Ada orang yang bermain secara straight dan ada juga yang bermain secara spinner. Terdapat juga mereka yang bermain secara hook dan ia banyak dilihat dalam kebanyakan kejohanan yang dianjurkan di pelbagai peringkat. Bermain secara hook memerlukan bola dengan RG Diff yang agak tinggi. Diff yang tinggi bermaksud bola tu akan lebih "hooking". Bagi yang baru berjinak-jinak untuk bermain hook, mereka boleh mendapatkan bola yang bersifat "low performance".

Bagi pemain straight pula, mereka boleh menggunakan bola plastik (plastic ball). Bola ini sangat bagus untuk melakukan balingan spare kerana ia akan meluncur secara lurus. Mendapatkan strike menjadi keutamaan oleh pemain dalam setiap balingan kerana mata yang diberikan namun spare adalah penentu dalam kemenangan sesebuah pertandingan.

Kewangan
Faktor ketiga ini dianggap penting dalam menentukan bola yang bakal dimiliki bergantung kepada tahap kewangan seseorang dan minat. Sekiranya pemain sekadar bermain untuk tujuan beriadah atau "suka-suki" di samping bergembira, cukuplah baginya berpuashati dengan sebiji bola plastik. Tapi andai dia bermain untuk memasuki pertandingan yang bakal dianjurkan atau memang minatnya yang tinggi dalam sukan tersebut, belanjalah lebih sedikit untuk mengeluarkan sebiji bola yang agak istimewa sesuai dengan jenama dan bajet.  

Bola hook agak mahal kerana ia mempunyai "isi" di dalamnya berbanding bola plastik. Bagi mereka yang mempunyai lebihan wang, ambillah dua biji bola dengan salah satunya bola hook. Bola hook digunakan untuk melakukan strike sementara bola plastik ditugaskan untuk menghabisi "spare".                                       


Wednesday, June 13, 2018

Cara Baling Bola Boling dengan Betul!

Jom kita saksikan dan pelajari cara membuat balingan yang betul berpandukan video ini. Terima kasih kepada pemilik video tersebut.


Friday, May 4, 2018

MENGENAI PERMAINAN BOLING

Matlamat Utama dalam permainan boling adalah untuk mendapatkan skor tertinggi semaksimum yang boleh dengan menjatuhkan 10 pin dalam 1 balingan atau sekurang-kurangnya dalam 2 balingan bagi setiap "frame". Markah maksimum bagi 1 permainan adalah 300.

Setiap permainan boling dibahagikan kepada 10 frame. Untuk setiap frame, pemain dibenarkan melakukan 2 balingan sekiranya balingan pertama tidak berjaya menjatuhkan kesemua pin.

Jika pemain berjaya menjatuhkan keseluruhan pin dalam balingan pertama ia disebut sebagai "Strike". Markah sebanyak 300 akan diperoleh oleh pemain jika dia berjaya melakukan 12 kali strike berturut-turut (9 strike untuk 9 frame awal dan 3 strike untuk frame ke 10). Situasi sebegini disebut sebagai "Perfect Game".

Sekiranya pemain berjaya menjatuhkan baki pin dalam balingan kedua dari balingan pertama, ia disebut sebagai "Spare". Namun, jika selepas balingan kedua, pemain masih gagal menjatuhkan baki pin atau kesemuanya, frame itu dikira sebagai "Open".

Untuk frame ke 10, pemain dibenarkan melakukan balingan ketiga sekiranya berjaya melakukan strike atau spare dalam 2 balingan sebelumnya.

Friday, April 20, 2018

Bermain Boling Dengan Dua Tangan

PERNAHKAH anda melihat orang bermain boling dengan menggunakan kedua belah tangan?. Ya, jika pernah anda sememangnya peminat tegar sukan boling kerana orang yang tiada minat seringkali tidak ambil peduli atau perasan dengan teknik ataupun stail yang digunakan pemain tersebut semasa bermain.

Sebenarnya dalam sukan boling tiada peraturan khusus yang menggariskan tentang keharusan menggunakan satu tangan ketika membuat balingan ataupun cara balingan yang tetap. Asalkan anda mampu bermain tanpa membazirkan satu pin pun untuk terpacak di hujung lane, permainan itu sudah boleh dianggap berjaya. Mungkin dari segi teknik ia dipandang sebagai tidak profesional, tapi itu cuma tanggapan dan persepsi orang.

Semasa perlawanan boling di Amerika, seorang pemain bernama Jason Belmonte (info lanjut - https://en.wikipedia.org/wiki/Jason_Belmonte) telah melakukannya. Seorang lagi pemain dua tangan dikenali sebagai Osku Palermaa (info lanjut - https://en.wikipedia.org/wiki/Osku_Palermaa) turut menggunakan teknik ini.

Tips-tips untuk bermain cara ini boleh ditemui di laman berikut ( http://www.bowlingthismonth.com/bowling-tips/training-two-handed-players/ ).


Tuesday, April 17, 2018

STAIL DALAM BALINGAN BOLING

Dalam permainan boling, terdapat banyak gaya ataupun stail yang dipamerkan oleh para pemain. Antaranya adalah stoking, spinning, tweening dan lain-lainnya.

Stroking
Stroking adalah gaya secara bola dilepaskan dengan lancar. Kebiasaannya penggaya ini akan mempastikan bahu mereka selari dengan garisan foul dan backswing mereka tidak terlalu tinggi. Mereka yang menggunakan gaya stroker lebih mementingkan ketepatan berbanding kuasa yang dilepaskan.
                       
Cranking
Untuk menghasilkan revolusi dari jenis gaya cranker, pemain boling pada kebiasaanya akan banyak bergantung kepada pergerakan pada pergelangan tangan. Mereka akan menggunakan backswing yang tinggi dan menjarakkan bahu mereka untuk mendapatkan kelajuan bola yang diperlukan.

Tweening
Tweening adalah gaya yang berada di antara stroking dan cranking. Mengadunkan gaya dari stroking dan cranking boleh dilakukan. Power stroking adalah antara variasi tweening  yang mana kelajuan dan revolusi bola boleh dihasilkan dari gaya cranking dan dengan gaya yang lancar seperti menggunakan gaya stroking.

Spinning
Gaya yang popular di Asia adalah spinning iaitu bola akan bergerak tegak tetapi berputar pada axis X. Matlamat spinning adalah supaya bola boleh bergerak tegak sehingga menyentuh pin satu (1). Putaran bola pada axis X akan menghasilkan pergerakan bola ke arah yang berlawanan dan menyebabkan pin berlaga sesama sendiri.

Shoveling
Teknik ini dilakukan pemain dengan cara ibu jari tidak dimasukkan ke dalam lubang. Ia menghasilkan revolusi yang amat tinggi dan selalunya mereka menggunakan kedua–dua belah tangan atau distabilkan menggunakan lengan apabila pemain boling tersebut menggunakan backswing dengan siku yang dibengkokkan.

Thursday, March 15, 2018

Tatacara Permainan Boling

Walaupun permainan boling adalah lebih kepada permainan yang bersifat santai, ia tetap mempunyai peraturan dan tatacara tertentu yang harus dihormati. Ia dirangka bagi membantu pemain untuk lebih berdisiplin serta melancarkan permainan mereka.

Berikut adalah beberapa tatacara yang harus diikuti oleh para pemain :


Dapatkan buku atau info di tempat boling anda (jika ada) atau layari internet untuk mengetahui peraturan khusus di tempat anda bermain.












Anda disarankan hanya mengenakan kasut khas boling semasa bermain bukannya kasut jalanan. Kasut ini boleh disewa atau anda membawanya sendiri jika ada.











Jangan membuat balingan tanpa melihat terlebih dahulu ke arah pin. Terkadang pemain terus membuat balingan semasa mesin masih memproses pin yang boleh mengakibatkan berlaku pelanggaran bola pada penghadang muka pin.









Beri laluan kepada pemain bersebelahan anda untuk melakukan balingan terlebih dahulu tanpa melakukannya secara serentak. Ataupun, anda  membiarkan dia membuat balingan jika dia terlebih dahulu mempersiapkan diri ke arah itu.










Jangan meletakkan kaki anda melewati garis busuk (foul line) sekalipun anda bermain secara santai. Harus diingatkan bahawa boling juga diklasifikasikan sebagai sukan olahraga yang berprestij tinggi. Oleh itu, bermainlah secara profesional berbekalkan semangat kesukanan yang tinggi.









Bola boling hanya boleh digolekkan di atas permukaan lorong boling sahaja. Jangan melontar, melempar atau melambungkan bola itu kerana ia boleh merosakkan lane dan bola itu sendiri.










Jangan bermain atau menggolekkan bola di lorong pemain lain. Bermainlah di lorong anda sendiri. Jika bermain secara cross lane, anda harus mempastikan lorong yang betul berdasarkan nama anda dan anak panah yang ditunjukkan oleh skrin.









Mintalah izin jika anda ingin menggunakan bola milik pemain lain.













Tidak membuat bising atau mengganggu pemain lain ketika mereka sedang bermain. Kendalikan ucapan anda dengan sebaiknya serta berusahalah untuk tidak melakukan provokasi dan sebagainya.










Bersiap sedialah apabila tiba saat anda melakukan balingan. Jangan bermain secara "slow bowling" lebih-lebih lagi jika anda bermain dalam sesebuah kejohanan.











Berusahalah sedaya upaya untuk mencatat skor tertinggi dalam setiap permainan walaupun boling lebih mementingkan disiplin iaitu "skill not score".