Tuesday, December 31, 2013

Terima Kasih Semua !!!

Kurang 4 jam dari sekarang, kita akan meninggalkan tahun 2013 untuk memasuki tahun baru 2014. Sudah pastinya, tahun baru yang disambut tidak berapa lama lagi akan diwarnai dengan pelbagai peristiwa menarik yang bakal memahat memori indah untuk diingati sepertimana tahun ini.

Kelab Boling SK Bertam Indah sememangnya terkenal dengan sebuah kelab sukan permainan yang paling aktif menjalankan pelbagai aktiviti sepanjang 2013. Seawal 9 Januari lagi, kelab ini telahpun menjalankan aktiviti pertamanya iaitu program pencarian bakat baru untuk serapan ke dalam Skuad Boling MSSPP-SKBI 2013. Ia dimantapkan lagi dengan 5 program susulan yang digelar "Gerak Gempur Juara" yang membariskan atlit berkebolehan untuk bermain dalam MSSPP itu nanti.

Sejajar dengan hasrat memperkasakan SK Bertam Indah melalui visinya sebagai sebuah sekolah yang bakal cemerlang dan gemilang dalam semua bidang di peringkat kebangsaan menjelang tahun 2015, Kelab Boling tampil di bawah bidang kokurikulum untuk menerima jemputan pakej S.B.T. dengan peruntukan lebih RM13,000.00. Rentetan itu, 2 program kelab berskala tinggi yang disusun secara intensif dinamakan program "YES" (Young Potentiel Bowler) dan "BOS" (Bowler Of Straight) telah diadakan. Peserta dipilih di peringkat awal dan disaring terlebih dahulu sebelum kesemua pemainnya yang seramai 20 orang dilatih oleh seorang jurulatih untuk bermain secara "hook" dan "straight" sebanyak 25 sesi. Alhamdulilah, kedua-dua program yang disasarkan untuk murid tahun 4 ke bawah itu dimulakan pada bulan April dan telah tamat pada penghujung Oktober. Hasilnya seramai 4 orang daripada mereka telah memenangi pingat perak untuk kategori berkumpulan perempuan dalam Kejohanan Pembangunan Boling Tenpin MSSPP 2013 pada bulan Oktober. Diharap mereka ini akan menjadi pelapis masa hadapan sekurang-kurangnya untuk 2 tahun mendatang bagi mengukir nama sekolah di mana-mana kejohanan sama ada di peringkat negeri mahupun kebangsaan.

Sebagai rekod, sebanyak 20 sesi latihan biasa telah dijalankan pada 2013. Ini tidak termasuk program S.B.T. iaitu YES dan BOS. Sebagai penutup kepada semua aktiviti yang dijalankan sepanjang tahun, Kelab Boling telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Kuala Lumpur pada 25 hingga 27 November iaitu semasa minggu kedua cuti persekolahan. Program yang dijadualkan selama 3 hari itu berjalan lancar dan mendapat sambutan yang amat baik di kalangan ahli kelab dan bukan ahli.


Untuk itu, pihak kelab ingin merakamkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga terutama kepada barisan pentadbir SKBI, guru penasihat sesi 2013, AJK kelab, kesemua ahli kelab dan bukan ahli, ahli YES dan BOS, para waris dan juga kepada mereka yang membantu sama ada dari segi kewangan dan buah fikiran. Tanpa kalian, Kelab Boling SK Bertam Indah tidak akan berupaya untuk menjalankan pelbagai aktiviti bagi melakari sejarah dan warna-warni tahun 2013.

Terima kasih semua !!!

No comments:

Post a Comment