Thursday, December 1, 2016

PERMAINAN BOLING : Beberapa Peringatan Tentang Bagaimana Permainan Perlu Dimainkan

Sukan Boling adalah permainan "in-door" yang agak mudah yang menjadi penyumbang utama kepada mengapa begitu ramai yang menjadikannya sebagai salah satu sukan rekreasi yang paling digemari hari ini. Peraturannya juga adalah mudah. Secara ringkas di sini disenaraikan beberapa peraturan yang harus dihormati oleh setiap pemain boling.

1. Pakaian
Tidak ada tatacara pemakaian sebenar apabila kita bermain boling kecuali kasut kerana permukaan lorong perlu dilindungi untuk permainan yang konsisten. Terdapat kasut khas yang dibuat untuk boling dan boleh disewa di pusat-pusat boling atau dibeli sendiri di kedai-kedai barangan sukan berkenaan.

2. Bola
Bola boling hendaklah jenis yang tidak lebih daripada 27 inci dalam lilitan dan berat antara 10 dan 16 paun. Kebanyakan bola mempunyai tiga lubang jari untuk cengkaman yang lebih baik, tetapi terdapat juga bola khasnya di luar negara yang mempunyai hanya dua lubang.

3. Kaedah Bermain
Seseorang bowler perlu melengkapkan satu siri 10 bingkai untuk menyelesaikan satu permainan atau "string". Matlamatnya adalah untuk dapat menjatuhkan bilangan terbesar pin dalam bilangan lontaran yang paling terhad. Permainan sempurna (perfect game) boleh dicapai seseorang apabila dia berjaya memungut 300 mata iaitu bowler itu dapat mencapai 12 strike berturut-turut dalam setiap frame permainan.

4. Sekatan
Apabila membuat balingan, bowler tidak perlu melangkahi garis foul (foul line). Garis itu terletak 60 kaki daripada kepala pin. Terdapat sensor yang akan berbunyi atau menyala jika pemain telah melakukannya. Foul berlaku apabila mana-mana bahagian tubuh pemain melewati garisan tersebut semasa bola meninggalkan tangan pemain. Mata tersebut tidak dikira dan papan skor akan memaparkan tanda "F" sekalipun pemain telah melakukan strike.

5. Etika
Jangan mengambil terlalu banyak masa ketika hendak membuat balingan. Mengambil sedikit masa untuk menumpukan perhatian adalah lebih praktikal daripada mengambil masa yang terlalu panjang. Bersedia untuk memasuki lorong apabila ia adalah giliran anda untuk mengelakkan "slow bowling" dalam permainan. Hanya seorang bowler boleh bermain pada satu masa dalam dua lorong bersebelahan. Sekiranya terdapat sebarang perdebatan, bowler yang berada di sebelah kanan perlu diutamakan untuk membuat balingan pertama. Namun, bowler di kiri juga boleh berbuat demikian kerana kebanyakan pemain selalunya akan tersasar ke sebelah kanan lorong apabila selesai membuat balingan. Ia boleh mengakibatkan pertembungan jika masing-masing membuat balingan yang serentak.

Penonton atau orang yang tidak bermain hendaklah duduk di belakang bowler yang sedang bermain. Ini adalah untuk mengelakkan gangguan. Membuat bising, sorakan, sokongan atau bunyi-bunyian yang tidak diperlukan pada bila-bila semasa bermain adalah dilarang juga. Konsentrasi pemain harus diutamakan kerana permainan boling adalah sukan yang tidak memerlukan jeritan yang kuat seperti bola sepak.

Tuesday, November 15, 2016

TIPS : Pilih Bola Sesuai (Samb. 4)

Grip dan Lubang Yang Sesuai

Buatkan lubang yang sesuai dengan tangan anda dan cara lontaran anda dengan mendapatkan bantuan Pro Shop. Pemain boling dengan tangan kiri atau tangan kanan mempunyai lubang yang berbeza. Begitu juga pemain-pemain hook, spin dan bola lurus. Pemain hook biasanya akan meminta bola di drill agak lebar dan menghasilkan 'finger tip release', manakala spinner dan staright bowlers akan menggunakan lubang yang lebih sempit.

Selamat mencuba. Semoga berjaya dengan sedikit perkongsian ini.

KREDIT : http://bradersports.blogspot.my

Tuesday, November 1, 2016

TIPS : Pilih Bola Sesuai (Samb. 3)

Potensi Hook Bola

'Potensi Hook Bola' seharusnya mendapat perhatian sewajarnya oleh para pemain "hook" khasnya. Dewasa ini, bola-bola telah direka dengan ciri-ciri potensi hook yang lebih menarik mengikut selera pemain dan anda boleh memilih cara hook yang mana anda sukai. "Baby hook" lebih mudah di kawal kerana ia hampir lurus, manakala hook yang lebar sepertimana yang sering digunakan oleh Zulmazran Zulkfili perlukan latihan dan kawalan yang sesuai serta bola dengan potensi hook yang tinggi.

Untuk itu, anda boleh lihat pada  flare potential rating dan RG rating (radius of gyration) pada bola boling tersebut. Untuk hook yang besar dan memakan banyak board, gunakan bola boling yang punyai 6" inch flare potential rating atau lebih tinggi lagi.

Thursday, October 27, 2016

TIPS : Pilih Bola Sesuai (Samb. 2)

Coverstock

Ia dirujuk sebagai bahan yang digunakan pada permukaan bola boling. Kebiasaanya, ada empat jenis yang digunakan iaitu:

  • Polyester - Ia juga dipanggil bola plastik yang biasa digunakan sebagai 'house ball' di pusat-pusat boling. Bola ini akan meluncur laju di atas lane dan selalunya digunakan oleh pemain-pemain yang membaling bola lurus (straight ball) dan juga 'spinner'. Harganya lebih murah berbanding dengan jenis bola-bola yang lain.

  • Urethane dan Reactive Resin - Bola ini sesuai untuk mereka yang bermain dengan teknik "hook". Pemain "hook" biasanya akan menggunakan beberapa 'board' ketika membuat balingan. Impaknya bola itu akan tiba ke pin boling secara melencong. Oleh itu, mereka memerlukan bola yang boleh mengenggam (grip) lane sebaik mungkin agar ia tidak terkeluar dari landasan.

  • Particle - Bola jenis ini mempunyai kesan yang sama dengan Urethane dan Reactive Resin akan tetapi ia lebih sesuai pada lane yang sangat berminyak kerana keupayaannya kekal konsistent memotong minyak di lane dan kekal dalam landasan.
Kebiasaannya. para pemain pro memiliki lebih dari sebiji bola dan akan memilih bola yang sesuai mengikut lane pertandingan. 

Monday, October 17, 2016

TIPS : Pilih Bola Sesuai (Samb. 1)

Harga Bola

Dapatkan bola yang sesuai dengan bajet dan kemampuan poket anda. Bukanlah murah dan senang untuk kita dapatkan sebiji bola boling tambahan bagi mereka yang baru berjinak-jinak dengan sukan ini.

Oleh itu, dapatkan bajet yang paling ideal dan semakisma yang boleh agar anda tidak perlu lagi 'upgrade' di masa akan datang. Bola yang terbaik adalah berharga dalam lingkungan RM500 hingga RM700. Jika tidak cukup, anda mungkin terpaksa melupakan sementara niat untuk membeli bola atau cukup berpuashati dengan bola yang rendah kualitinya.

Berat Bola

Membeli bola yang berat adalah satu kesilapan bagi anda jika tanpa memikirkan tahap kesesuaian bola itu dengan diri anda. Terkadang para bowler terlalu ghairah untuk memiliki bola yang berat dek kerana impak yang dirasakan ketika bola meluncur ke arah pin. Memang tidak dinafikan bahawa bola yang berat amat berkuasa untuk melakukan tugasnya menyapu bersih pin yang berada di laluannya namun teknik permainan juga tidak harus dipandang sebelah mata.

Cari berat yang ideal untuk tangan anda yang anda rasa sangat selesa ketika mengangkat dan menghayunnya. Jika anda bermain 'hook', dapatkan lebih dari satu bola boling dengan yang salah satu darinya yang lebih ringan dijadikan sebagai bola "spare". Pilihlah bola yang semaksima berat yang boleh anda hayun dengan selesa. Pemain boling dewasa bagi teknik 'hook' biasanya akan menggunakan bola yang beratnya adalah dalam lingkungan 14 hingga 16 pound. Pemain "straight ball" pula adalah dalam lingkungan 12 hingga 16 pound, manakala pemain-pemain 'spin' boleh menggunakan bola yang ringan dalam lingkungan 10.5 hingga 12.5 pound.

Wednesday, October 12, 2016

TIPS : Pilih Bola Sesuai

Bermain boling dengan lebih konsisten serta dapat meningkatkan jumlah jatuhan pin dan skor dari masa ke masa amat diharapkan oleh seseorang bowler. Untuk mencapai target itu, satu perkara haruslah dititikberatkan iaitu pemilihan bola yang betul yang dapat membantu anda bermain dengan baik. Secara tidak langsung ia boleh membuatkan kita lebih seronok bermain boling bersama rakan-rakan di samping memperbaiki tahap permainan. 

Untuk itu, adalah lebih baik dapatkan bola sendiri yang sesuai dengan diri anda bukannya sekadar menggunakan "house ball". Ia bukan mudah dan pelaburannya juga bukannya murah. Dapatkan nasihat daripada otai-otai boling yang ada atau anda sendiri bertanya kepada kedai yang menjual bola boling.

Umum mengetahui bahawa pengeluar-pengeluar bola boling terkemuka seperti Storm, Hammer, eBonit, Roto Grip dan Brunswick telah membuat pelaburan yang banyak dalam sukan ini iaitu sering melakukan R&D dalam membangun dan merekabentuk bola boling yang berprestasi tinggi dengan penekanan pada garisan seimbangan (well balanced lines) pada bola bowling serta keupayaan tindak balas bola (ball reaction capabilities). Di peringkat yang lebih 'advance', anda akan dapati bahawa pemilihan bola yang sesuai dalam pertandingan akan memainkan peranan yang besar dalam kejayaan anda nanti. Namun, bagi peringkat permulaan, cukup kita lihat antara faktor-faktor asas yang harus dipertimbangkan ketika memilih bola boling untuk kegunaan sendiri.

Selalunya pemain akan melihat 3 perkara UTAMA iaitu :-

  1. Berat dan harga bola

  2. CoverStock

  3. Potensi Hook Bola
* Bersambung...