Thursday, December 1, 2016

PERMAINAN BOLING : Beberapa Peringatan Tentang Bagaimana Permainan Perlu Dimainkan

Sukan Boling adalah permainan "in-door" yang agak mudah yang menjadi penyumbang utama kepada mengapa begitu ramai yang menjadikannya sebagai salah satu sukan rekreasi yang paling digemari hari ini. Peraturannya juga adalah mudah. Secara ringkas di sini disenaraikan beberapa peraturan yang harus dihormati oleh setiap pemain boling.

1. Pakaian
Tidak ada tatacara pemakaian sebenar apabila kita bermain boling kecuali kasut kerana permukaan lorong perlu dilindungi untuk permainan yang konsisten. Terdapat kasut khas yang dibuat untuk boling dan boleh disewa di pusat-pusat boling atau dibeli sendiri di kedai-kedai barangan sukan berkenaan.

2. Bola
Bola boling hendaklah jenis yang tidak lebih daripada 27 inci dalam lilitan dan berat antara 10 dan 16 paun. Kebanyakan bola mempunyai tiga lubang jari untuk cengkaman yang lebih baik, tetapi terdapat juga bola khasnya di luar negara yang mempunyai hanya dua lubang.

3. Kaedah Bermain
Seseorang bowler perlu melengkapkan satu siri 10 bingkai untuk menyelesaikan satu permainan atau "string". Matlamatnya adalah untuk dapat menjatuhkan bilangan terbesar pin dalam bilangan lontaran yang paling terhad. Permainan sempurna (perfect game) boleh dicapai seseorang apabila dia berjaya memungut 300 mata iaitu bowler itu dapat mencapai 12 strike berturut-turut dalam setiap frame permainan.

4. Sekatan
Apabila membuat balingan, bowler tidak perlu melangkahi garis foul (foul line). Garis itu terletak 60 kaki daripada kepala pin. Terdapat sensor yang akan berbunyi atau menyala jika pemain telah melakukannya. Foul berlaku apabila mana-mana bahagian tubuh pemain melewati garisan tersebut semasa bola meninggalkan tangan pemain. Mata tersebut tidak dikira dan papan skor akan memaparkan tanda "F" sekalipun pemain telah melakukan strike.

5. Etika
Jangan mengambil terlalu banyak masa ketika hendak membuat balingan. Mengambil sedikit masa untuk menumpukan perhatian adalah lebih praktikal daripada mengambil masa yang terlalu panjang. Bersedia untuk memasuki lorong apabila ia adalah giliran anda untuk mengelakkan "slow bowling" dalam permainan. Hanya seorang bowler boleh bermain pada satu masa dalam dua lorong bersebelahan. Sekiranya terdapat sebarang perdebatan, bowler yang berada di sebelah kanan perlu diutamakan untuk membuat balingan pertama. Namun, bowler di kiri juga boleh berbuat demikian kerana kebanyakan pemain selalunya akan tersasar ke sebelah kanan lorong apabila selesai membuat balingan. Ia boleh mengakibatkan pertembungan jika masing-masing membuat balingan yang serentak.

Penonton atau orang yang tidak bermain hendaklah duduk di belakang bowler yang sedang bermain. Ini adalah untuk mengelakkan gangguan. Membuat bising, sorakan, sokongan atau bunyi-bunyian yang tidak diperlukan pada bila-bila semasa bermain adalah dilarang juga. Konsentrasi pemain harus diutamakan kerana permainan boling adalah sukan yang tidak memerlukan jeritan yang kuat seperti bola sepak.