Wednesday, February 29, 2012

Penentuan Di Tangan Fatini


Sejarah tercipta lagi buat Kelab Boling SKBI apabila salah seorang pemainnya Nur Fatini Atiera akan bermain dalam acara MASTER yang dijadual berlangsung esok di Sunshine, Bayan Baru. Tepat jam 9.00 pagi Khamis bersamaan 1 Mac 2012, Fatini bakal berentap bersama 7 pemain boling terbaik MSSPP P. Pinang. 6 games menjadi taruhan buat mereka bagi membentuk skuad negeri mara ke peringkat kebangsaan.

Nur Fatini Atiera yang juga Pengerusi Kelab Boling diharap dapat bermain dengan baik kerana kesemua pemain-pemain yang bersama beliau adalah lawan yang tidak harus dipandang ringan. Walaupun menduduki tempat ke-5 daripada 8 terbaik, mata yang dikumpulnya dalam All Event akan dipintas pada bila-bila masa. Ini kerana apa-apa sahaja boleh berlaku dalam acara MASTER sekiranya kita leka atau melakukan sebarang kesilapan.

Bagi pihak pengurusan tiada apa yang boleh diberikan melainkan doa dan harapan agar beliau dapat bermain dengan cemerlang. Semoga kisah 2010 tidak berulang kembali di mana seorang pemain SKBI hanya kekurangan 5 mata dalam acara MASTER untuk menempatkan diri antara 4 yang terbaik. Apapun, harapan untuk melihat Fatini beraksi di peringkat kebangsaan kini terletak di tangan beliau sendiri.

Sama-samalah kita berdoa... Amin

Tuesday, February 28, 2012

LATIHAN BOLING : EDISI 3

Seramai 44 murid termasuk 26 orang bukan ahli telah menyertai latihan boling edisi ke-3 pada petang tadi. Latihan yang bermula agak lewat kira-kira jam 4.20 petang itu tamat dua jam berikutnya. Pada hari ini peserta dibahagikan kepada 2 kumpulan iaitu kumpulan ahli kelab dan bukan ahli.

Dalam pada itu, Nur Fatini Atiera yang turut hadir pada kali ini diberi keistimewaan untuk bermain seorang diri dalam satu lane. Beliau yang dibimbing jurulatih boling SKBI, En Aswad Ahmad dilihat agak bersemangat sepanjang permainan. Pada game yang terakhir beliau berjaya mencatat markah agak memberangsangkan iaitu 146 mata. Nur Fatini Atiera merupakan antara 8 pemain terbaik P. Pinang yang akan berentap dalam acara MASTER pada Khamis ini untuk mewakili negeri ke peringkat kebangsaan.

Monday, February 27, 2012

Penyampaian Hadiah MSSPP

Guru Besar SKBI, Pn. Hjh. Halimatun Sa'adiah bt. Said hari ini telah menyampaikan hadiah dan sijil kepada para pemain boling seramai 10 orang. Bertempat di dataran perhimpunan, Nur Fatini Atiera mendahului senarai penerima pingat dan sijil Kejohanan Boling Tenpin MSSPP 2012. Nur Fatini mendapat tiga pingat yang kesemuanya gangsa menang dalam acara individu, bergu dan berpasukan. Menyusuli beliau 2 pemegang pingat yang juga gangsa iaitu Faziera Izzati yang menyerlah dalam acara bergu dan berkongsi tempat dalam acara berpasukan bersama Nurhannani dan Ros Ainin Sofia.

Dalam pada itu, Nur Aufa Akmal hanya mendapat sijil penyertaan bersama 5 lagi pemain lelaki iaitu Muhd. Rasyiqi, Muhd. Syafiq, Muhd. Danial, Aliff Danial dan Ahmad Izzat.


Kesemua pemain boling SKBI bergambar kenangan bersama guru-guru penasihat

Tuesday, February 21, 2012

Kursus Kemahiran Asas Boling (Siri 1)

Seramai 36 ahli Kelab Boling telah menyertai Kursus Kemahiran Asas Boling Tahap 1 Siri Pertama pada petang tadi. Kursus yang dianjurkan dengan kerjasama PK Kokurikulum SKBI telah diadakan selama hampir 2 jam bertempat di Makmal Komputer 1. Hadir sama kesemua guru penasihat termasuk Juru Teknik SKBI, Cik Nurhayati Mat Isa.

Tujuan kursus ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan kepada ahli tentang kemahiran asas bermain boling secara teori. Dalam pada itu, peserta juga didedahkan dengan pelbagai fakta menarik seperti sejarah, asal usul permainan, istilah-istilah yang berkaitan dengan permainan, cara pengiraan mata dan sebagainya.


Para peserta tekun mendengar ceramah


Untuk Siri 1 ini, Pn. Nurzaini dan En. Rasyiddin bertindak sebagai fasilitator dalam membicarakan tentang sejarah dan cara pengiraan mata. Manakala pada Siri Ke-2 nanti, Pn. Zuraini dan En. Aswad akan menerangkan pula tentang teknik balingan dan cara mengambil pin spare.

Pada akhir Siri 1 tadi juga para peserta diberi peluang untuk menjawab 5 soalan dalam borang penilaian kursus mengenai pengiraan mata terkumpul. Semua peserta yang hadir pada Siri 1 dan Siri 2 akan diberikan sijil.

Friday, February 17, 2012

MSSPP Hari 3

Gandingan 4 pemain lelaki dalam acara berpasukan masih tidak mampu mengubah nasib pasukan SKBI untuk memungut mata tertinggi dalam permainan yang telahpun berakhir hari ini. Dengan catatan hanya 550 mata dalam 6 permainan mereka hanya mara di kedudukan ke-6 daripada 14 pasukan yang bertanding. Walaupun pihak pengurusan telah membuat pertukaran pemain dengan menurunkan peserta simpanan percaturan tersebut masih tidak mampu merobek tembok kebal yang seakan di pasak gagah di podium pemenang.

Walaupun begitu, sekalung ucapan TAHNIAH wajar dirakamkan buat pasukan boling perempuan apabila mereka sangat menyerlah dalam acara berpasukan sekaligus membawa pulang pingat. Dengan menyenaraikan pemain simpanan Nurhannani yang menggantikan Nur Aufa Akmal, permainan yang berlangsung hanya 2 jam setengah telah menghasilkan keputusan yang boleh dibanggakan. Mendahului senarai penerima pingat, Nur Fatini Atiera berjaya merekodkan jatuhan pin sebanyak 617 mata bersama tiga yang lain iaitu Fazira, Nurhannani dan Ros Ainin. Natijahnya mereka berada di kedudukan ketiga daripada 15 pasukan dalam senarai pemenang.

Apapun ucapan tahniah dan terima kasih diucapkan kepada semua pemain lelaki terutama Aliff Danial yang walaupun sakit masih mampu menyaingi lawan bersama rakan-rakan yang lain Muhd. Rasyiqi, Muhd. Danial, Muhd. Syafiq dan pemain simpanan Ahmad Izzat. Tahniah juga kepada semua guru, PK dan waris yang turut sama hadir dalam kejohanan pada tahun ini.


Skuad boling perempuan SKBI menerima pingat pemenang

Jumpa lagi pada 1 Mac 2012 bersama Nur Fatini Atiera dalam acara Master di Sunshine Penang. Diharapkan NFA dapat memberikan persembahan cemerlang dalam acara itu nanti sekaligus bergabung bersama 4 pemain terbaik negeri bagi mencipta nama di peringkat kebangsaan, Insya Allah.

Thursday, February 16, 2012

NOTIS : Pertukaran Pemain MSSPP




Berikut
adalah senarai baru pemain boling SKBI untuk acara berpasukan pada hari Jumaat bersamaan 17 Februari 2012. Tulisan berwarna merah adalah pemain simpanan.

Berpasukan Lelaki :

1. Ahmad Izzat - 6M
2. Muhd. Rasyiqi - 6Z
3. Muhd. Syafiq - 6Z
4. Muhd. Danial - 5N

Berpasukan Perempuan :

1. Nur Fatini Atiera - 6N
2. Nur Hannani - 6Z
3. Faziera Izzaty - 6M
4. Ros Ainin Sofiya - 6M

Wednesday, February 15, 2012

MSSPP Hari 2

Skuad Boling SKBI Lelaki masih ketinggalan dalam memenangi sebarang pingat walaupun sudah memasuki hari kedua kejohanan. Menerusi gandingan bergu Muhd. Rashiqi dan Muhd. Syafiq, mereka hanya mendapat tempat ke-13 sementara bergu kedua iaitu Aliff Danial dan Muhd. Danial pula menduduki tempat ke-17 daripada 34 bergu yang bertanding pada hari ini.

Walau bagaimanapun, skuad perempuan berjaya membawa pulang pingat gangsa menerusi gandingan Nur Fatini Atiera dan Fazira Izzaty dengan jatuhan pin sebanyak 901. Sementara gandingan Ros Ainin dan Nur Aufa pula hanya berada di kedudukan ke-11 daripada 32 bergu yang bertanding.


Nur Fatini Atiera yang mendapat pingat gangsa acara individu bersama peserta Master bergambar kenangan bersama PKKK SK Bertam Indah En. Mior Darul Ridzuan yang mengalungkan pingat sebelum itu

Dalam pada itu, Nur Fatini Atiera berpeluang bermain dalam acara Master yang dijadual berlangsung pada 1 Mac nanti setelah menempatkan diri di pilihan ke-5 daripada 8 orang yang berjaya dalam pengumpulan mata All Event. Dalam acara Master hanya 4 orang yang terbaik akan meneruskan perjuangan bersama Skuad Boling Pulau Pinang bertanding di Peringkat Kebangsaan.


Nur Fatini Atiera dan Fazira Izzaty mendapat gangsa dalam acara bergu

Tuesday, February 14, 2012

MSSPP Hari 1


Nur Fatini Atiera muncul satu-satunya peserta SKBI yang berjaya membawa pulang pingat gangsa pada hari ini. Dengan jatuhan pin sebanyak 473 dalam kategori individu perempuan dia telah menewaskan 7 orang rakan-rakan SKBI lain yang hanya sekadar berpuashati di kedudukan ke-10,12,15 dan lain-lain. Hadir pada perlawanan hari ini semua guru penasihat Kelab Boling SKBI.

Seramai 8 orang peserta Boling Tenpin MSSPP bagi setiap kategori individu lelaki dan perempuan bawah 12 tahun hari ini mendapat pingat dari tempat pertama hingga tempat ke-8. Kategori lelaki merekodkan penyertaan seramai 60 orang sementara perempuan seramai 62 orang.

Monday, February 13, 2012

Peserta MSSPP 2012


Peserta-peserta SKBI Ke MSSPP 2012

1. Muhd. Rasyiqi - 6Z
2. Muhd. Syafiq - 6Z
3. Aliff Danial - 6M
4. Muhd. Danial - 5N
5. Nur Fatinie Atira 6N
6. Nur Aufa - 6B
7. Faziera Izzaty - 6M
8. Ros Ainin Sofiya - 6M

Thursday, February 9, 2012

Gerak Gempur Juara '03


Program Gerak Gempur Juara 2012 telahpun berakhir pada hari ini apabila siri ketiganya dilangsungkan tepat jam 3.30 petang. Seramai 10 orang peserta telah bertanding pada kali ini untuk kelayakan ke Kejohanan Tenpin Boling MSSPP 2012 bagi mewakili SKBI.

Program GGJ pada hari ini telah berjaya melatih murid untuk bermain secara pra-profesional apabila hampir kesemua peserta menunjukkan prestasi yang cemerlang. Mereka bukan sahaja dilihat mampu bermain dengan baik tetapi berjaya melakukan beberapa balingan secara strike dan juga spare. Pun begitu, masih terdapat beberapa kelemahan yang dikesan daripada peserta seperti tidak fokus, kurang keyakinan diri dan rasa takut kepada pihak lawan. Untuk itu, pihak pengurusan akan menjalankan satu sesi kaunseling kepada mereka bagi menyelesaikan permasalahan tersebut dalam sehari dua ini.







Berikut markah peserta mengikut kedudukan tertinggi
untuk 2 permainan :

Tempat Game1 Game2 Jumlah Nama Pemain
1 106 134 240 Nur Fatini Atiera - 6N Rekod Baru
2 119 113 232 Muhd. Rasyiqi - 6Z
3 96 109 205 Muhd. Syafiq - 6Z
4 101 100 201 Nur Aufa - 6B
5 83 114 197 Aliff Danial - 6M
6 75 112 187 Muhd. Danial - 5N
7 82 94 176 Nur Hannani - 6Z
8 79 62 141 Faziera Izzaty - 6M
9 64 73 137 Ros Ainin Sofiya - 6M
10 67 57 124 Muhd. Aiman Haikal - 5M

Saturday, February 4, 2012

Salam Maulidur Rasul 1433

Jadikan Nabi Muhammad sebagai sumber ikutan
Oleh : MOHD. AYOP ABD RAZID

ESOK umat Islam akan menyambut Maulidur Rasul, iaitu hari mengingati kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Namun, tujuan Maulidur Rasul bukanlah untuk mengingati keputeranaan baginda semata-mata tetapi perkara paling penting ialah ingatan dan kecintaan kita kepada Rasulullah SAW mestilah dizahirkan dalam bentuk mengikuti segala akhlak dan ajaran Nabi yang mulia itu. Nabi Muhammad SAW adalah insan kamil yang memiliki akhlak dan peribadi bersumberkan wahyu.

Pada diri baginda terpancar akhlak terpuji yang menjadi sumber ikutan umat (uswatun hasanah). Sejak kecil lagi baginda telah ditarbiyah (dididik), dipelihara dan dilindungi oleh Allah SWT. Masyarakat jahiliyah Mekah yang menyembah berhala serta mengamalkan budaya hidup yang tidak berakhlak turut mengurniakan gelaran 'Al-Amin' kepada baginda.

Baginda diutus sebagai Rasul untuk membawa rahmat kepada sekalian alam (rahmatan lil-alamin) seperti maksud firman Allah: "Dan tiadalah kami mengutus engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam" (surah al-Anbiya:107). Misinya adalah membina masyarakat rabbani yang dinaungi 'Nur Ilahi' (cahaya ketuhanan).

Baginda juga diutus ke alam ini untuk menyempurnakan budi pekerti yang mulia (makarimu'l akhlaq). Akhlak baginda adalah pancaran daripada nilai-nilai al-Quran sebagaimana kata isterinya, Aisyah r.a. bahawa akhlak Nabi adalah umpama al-Quran yang bergerak (Kana Khuluquhul Quran). Justeru, selaku umat Islam, kita dituntut mencontohi akhlak Rasulullah SAW.



Terdapat banyak sifat dan akhlak mulia Nabi yang boleh dipelajari, dihayati dan diamalkan. Antara sifat-sifat kekuatan diri baginda yang patut dijadikan ikutan ialah tawaduk, pemalu, siddiq, amanah, fatanah, tabah, sabar, syukur, pemaaf, bertakwa, beristiqamah, ikhlas, khusyuk, zuhud, qanaa dan lemah lembut. Nabi juga memiliki al-hikmah (kebijaksanaan) dan Al-Iffah (pengawasan diri).

Nabi juga menjadi contoh ikutan dalam beribadah. Dalam beribadah dan beramal sholeh, baginda mengajar tentang al-ihsan seperti mana maksud hadis baginda: "beribadatlah seolah-olah kamu melihat Allah, dan jika tidak dapat merasai demikian hadirkan hatimu seolah-olah kamu diperhatikan-Nya". 'Al-ihsan' merangkumi segala bentuk kebaikan yang dibuat oleh manusia semata-mata untuk mendapat keredaan Allah SWT.

Antara contoh amalan ibadah Nabi yang perlu diikuti ialah bersolat wajib secara berjemaah di masjid, memperbanyakkan solat sunat di rumah, beristiqamah solat tahajjud, gemar melakukan iktikaf, banyak berpuasa sunat, sentiasa berzikir, berdoa dan bertaubat, kuat berjihad, istiqamah dalam beramal, banyak membaca al-Quran, melazimkan siwak (bersugi), berjanggut, berserban dan berjubah.

Para pendakwah (da'i) patut mencontohi kesabaran yang tinggi serta keteguhan jiwa yang dimiliki baginda ketika menyampaikan risalah Allah kepada manusia. Baginda sentiasa berinteraksi dengan masyarakat dengan cara yang maaruf. Rasulullah suka membalas kejahatan dengan kebaikan. Antara sifat-sifat baginda ketika bergaul dan berhubung dengan masyarakat ialah mengasihi anak-anak yatim, mengasihi kanak-kanak, mengasihi orang miskin dan menghormati orang tua.

Baginda juga sentiasa membimbing dan mengasihi yang muda, berkelakuan baik terhadap haiwan, membalas pemberian orang, sentiasa memberi salam dan menziarahi orang sakit. Rasulullah juga mengajarkan aspek tasamauh atau bertoleransi. Nabi bergaul secara maaruf dengan pelbagai kaum dan penganut agama lain. Rasulullah pernah mengizinkan delegasi Kristian dari Najran yang datang ke Madinah melakukan ibadat mereka di satu sudut Masjid Madinah.

Baginda berpesan kepada para sahabatnya jangan merosakkan hubungan dengan orang bukan Islam kecuali mereka menentang Islam atau merobek maruah umat Islam. Untuk membina masrakat Islam yang kukuh, Rasulullah sangat menekankan aspek ukhwah Islamiah atau persaudaraan Islam tanpa mengira warna kulit atau taraf sosial.

Umat Islam diajar tidak menyakiti saudaranya sama ada melalui tangan atau lidahnya. Orang Muslim juga diharamkan menumpahkan darah saudara Muslimnya serta diharamkan menceroboh harta benda dan kehormatannya.

Nabi juga mengajar umat Islam membantu meringankan kesusahan saudara Muslimnya dan membantu golongan miskin. Nabi menegah umat Islam mendedahkan aib atau keburukan saudara Muslimnya supaya keburukannya ditutup Allah di dunia dan di akhirat kelak.

Nabi Muhammad SAW merupakan pendidik yang cukup unggul dalam membangun peribadi insan. Antara sifat-sifat Rasulullah sebagai pendidik yang boleh dijadikan contoh ialah murabbi, mualim dan muaddib. Nabi menjadikan al-Quran sebagai sumber tarbiyah serta bersifat sabar dan menggunakan pelbagai kaedah dalam mendidik.

Dalam mengurus dan mengendalikan rumah tangga Rasulullah sentiasa bergaul secara maaruf dengan isteri dan ahli keluarganya. Baginda sentiasa mendidik, berlaku adil serta bersifat berlemah lembut terhadap isteri-isterinya. Baginda tidak pernah memukul dan menghina isteri-isterinya, sebaliknya bersifat sabar dengan kerenah isteri serta sentiasa menyuruh ahli keluarga melakukan kebaikan.

Dari segi kepemimpinan, Rasulullah adalah seorang pemimpin agung yang memiliki sifat-sifat kepimpinan yang tinggi. Kepemimpinan baginda sangat menekankan aspek integriti seperti amanah, bertanggungjawab, telus dan jujur. Baginda memiliki kemampuan untuk menyusun strategi, bersifat berani, tegas dan berprinsip tetapi dalam masa yang sama baginda bersifat pemaaf dan pemurah.

Selain itu, baginda sentiasa mengamalkan syura, menegakkan keadilan, mengutamakan umat serta sanggup menanggung kesusahan bersama pengikut. Sebagai pemimpin umat, baginda tidak mengharapkan penghormatan dan pujian melainkan mengharapkan keredaan Allah semata-mata.

Kesimpulan, di tengah-tengah arus masyarakat yang semakin subur dengan sifat-sifat mazmumah (keburukan), maka wajarlah umat Islam kembali mencontohi akhlak Rasulullah SAW seperti maksud firman Allah SWT: "Sesungguhnya, adalah bagimu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan keredaan Allah dan balasan baik hari akhirat, serta pula menyebut dan banyak mengingati Allah" (Al Ahzab:21)

Sumber : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0204&pub=utusan_malaysia&sec=Rencana&pg=re_02.htm&arc=hive

Thursday, February 2, 2012

GGJ Siri 2

Seramai 9 orang murid SKBI telah mengikuti program pencarian juara dalam Gerak Gempur Juara (GGJ) Siri 2. Program yang dijalankan untuk kali ke-2 ini turut dihadiri oleh PK Kokurikulum SKBI, En. Mior Darul Ridzuan b. Kamarun Zaman (berdiri kiri).

Dalam GGJ kali ini peserta didedahkan dengan beberapa teknik balingan dalam permainan sukan boling. Diharap para pemain dapat mengumpul sebanyak mata yang boleh bagi mempersiapkan diri dalam menghadapi Kejohanan Boling MSSPP yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Menurut Pengurus Pasukan En. Aswad Ahmad, seramai 10 orang peserta disaring dalam GGJ 2012 ini, namun hanya 8 orang pemain sahaja yang layak untuk mewakili sekolah ke kejohanan itu nanti. Bagi pemain, mereka hanya berpeluang sekali lagi untuk berlatih dalam GGJ ke-3 yang akan diadakan pada 9 Feb 2012 nanti.