Monday, November 24, 2014

Langkawi : Hari 2

Jadual hari ini adalah ke Gunung Mat Cincang iaitu salah sebuah tempat menarik yang menyambungkan juntaian tali-tali kabel tertinggi di Malaysia. Di sinilah para pengunjung boleh menikmati keindahan alam dengan menaiki "cable car". Perasaan takut bercampur baur dengan rasa gambira, tidak menghalang para peserta untuk tiba di puncak gunung pada jam 10.30 pagi.

Kesemua peserta amat seronok dengan lawatan itu memandangkan ada di kalangan mereka yang baru kali pertama menaiki kereta kabel. Perasaan takut yang mencengkam diri sejak kaki melangkah masuk ke kereta kabel hilang sebaik sahaja tiba di puncak yang mempunyai ketinggian 2,339 kaki atau 713 meter dari paras laut.
Setelah puas berada di Gunung Mat Cincang, rombongan bertolak ke Makam Mahsuri dan makan tengahari. Keadaan yang agak meletihkan membuatkan ramai di kalangan peserta berasa lapar dan dahaga. Makanan yang disajikan sebagai menu tengahari disantap dengan penuh selera. Ada di antara mereka yang kelihatan pergi mendapatkan sepinggan nasi tambah untuk memenuhkan kantung di perut. Alhamdulillah, rezeki Allah dimakan dengan penuh syukur.

Setelah selesai makan, kami semua bertolak ke Pusat Boling di Jeti Kuah. Semua peserta bermain sebanyak dua games seorang. Masing-masing telah menunjukkan bakat terpendam. Ada yang bermain dengan penuh bergaya dan ada juga yang bermain secara "lempar-lempar sahaja". Apapun, program pada hari kedua ini berjalan dengan lancar dan mencapai objektif yang disasarkan.


Sunday, November 23, 2014

Langkawi : Hari 1

Seawal jam 7.00 pagi, para peserta rombongan ke Langkawi telahpun berkumpul di SKBI. Dengan kekuatan seramai 44 orang kesemuanya, bas yang turut memuatkan guru pengiring seramai 6 orang telah meluncur laju membelah lebuhraya PLUS menuju ke Jeti Kuala Perlis untuk tiba di sana kurang 2 jam kemudian. Para peserta seolah-olah tidak sabar lagi untuk menaiki feri yang bertolak pada jam 12.30 menuju ke pulau bebas cukai itu. Dalam lingkungan jam 1 lebih rombongan selamat tiba di Jeti Kuah. Bas yang menunggu kami telahpun ada dan kami terus dibawa ke tempat penginapan di Pekan Rabu kira-kira 500 meter dari Pekan Kuah.

Sebaik tiba di tempat penginapan, kami makan tengahari, berehat dan solat zohor sebelum bersiap untuk lawatan ke Underwater World. Hampir 2 jam lebih kami menghabiskan masa berada dalam UWW untuk melihat keajaiban haiwan cipataan Ilahi antaranya penguin, pelbagai jenis spesis hidupan laut dan juga mamalia di darat.


Pada sebelah petang, tiada apa yang dilakukan cuma aktiviti membeli-belah di Pekan Kuah. Kesemua peserta menghabiskan masa dengan "menabur duit" membeli barangan seperti coklat, buah tangan, cenderahati dan lain-lain. Tak kurang juga, ada yang hanya menjamu mata dek katanya terlalu awal untuk membeli memandangkan masa berbaki 2 hari lagi untuk berada di sana.