Monday, November 24, 2014

Langkawi : Hari 2

Jadual hari ini adalah ke Gunung Mat Cincang iaitu salah sebuah tempat menarik yang menyambungkan juntaian tali-tali kabel tertinggi di Malaysia. Di sinilah para pengunjung boleh menikmati keindahan alam dengan menaiki "cable car". Perasaan takut bercampur baur dengan rasa gambira, tidak menghalang para peserta untuk tiba di puncak gunung pada jam 10.30 pagi.

Kesemua peserta amat seronok dengan lawatan itu memandangkan ada di kalangan mereka yang baru kali pertama menaiki kereta kabel. Perasaan takut yang mencengkam diri sejak kaki melangkah masuk ke kereta kabel hilang sebaik sahaja tiba di puncak yang mempunyai ketinggian 2,339 kaki atau 713 meter dari paras laut.
Setelah puas berada di Gunung Mat Cincang, rombongan bertolak ke Makam Mahsuri dan makan tengahari. Keadaan yang agak meletihkan membuatkan ramai di kalangan peserta berasa lapar dan dahaga. Makanan yang disajikan sebagai menu tengahari disantap dengan penuh selera. Ada di antara mereka yang kelihatan pergi mendapatkan sepinggan nasi tambah untuk memenuhkan kantung di perut. Alhamdulillah, rezeki Allah dimakan dengan penuh syukur.

Setelah selesai makan, kami semua bertolak ke Pusat Boling di Jeti Kuah. Semua peserta bermain sebanyak dua games seorang. Masing-masing telah menunjukkan bakat terpendam. Ada yang bermain dengan penuh bergaya dan ada juga yang bermain secara "lempar-lempar sahaja". Apapun, program pada hari kedua ini berjalan dengan lancar dan mencapai objektif yang disasarkan.


No comments:

Post a Comment