Friday, August 11, 2017

KUTIPAN PINGAT MSSM 2017


Penyampaian Pingat Gangsa

Alhamdulillah... selesai sudah majlis penganugerahan pingat gangsa kepada 4 orang atlit lelaki bawah 12 tahun. Serentak dengan Majlis Perasmian Penutup Kejohanan Boling Tenpin MSSM Peringkat Kebangsaan 2017, anugerah pingat ini hanya berlangsung untuk tiga acara sahaja kerana pingat-pingat lain telahpun dianugerahkan pada majlis-majlis penyampaian sebelum ini.

Bukan kemegahan untuk didabik-dadakan atau "dikenali orang" sebagai hebat dan kuat, namun rasa kesyukuran yang penuh iltizam dan pengharapan yang sangat didambakan. Buat pertama kali dalam sejarah boling tenpin MSSM, nama murid SK Bertam Indah iaitu Muhd. Mifzal Airil Bin Ahmad diabadikan (VIDEO) dalam gemuruh jiwa dan sorakan para atlit MSSM seramai 384 dari seluruh Malaysia. Satu perasaan yang sangat puas dan terharu yang tidak boleh digambarkan telah diterjemahkan dalam nada kesyukuran yang berpanjangan. Akhirnya SK Bertam Indah mampu untuk menempatkan diri sebaris dengan atlit-atlit negeri juga kebangsaan dalam arena sukan berprestij ini.

Tahniah diucapkan! Kepada Auni Sufi, perjalanan anda masih jauh. Apa yang dicapai setakat ini juga rakan anda Muhd. Mifzal Airil hanyalah satu permulaan. Menang atau kalah adalah adat pertandingan. Apa yang penting anda juga telah mempamerkan permainan yang sangat baik, cuma belum masanya lagi nama anda diabadikan sebagai pemenang.

2017 telah menghadiahkan segalanya untuk kita. Penat lelah melatih dan mengasuh sejak 4 tahun lalu telah membuahkan kejayaan yang cemerlang. Terima kasih semua atas sokongan padu yang berpanjangan. Mudah-mudahan kejayaan ini menjadi pemangkin untuk kita terus berusaha ke arah kejayaan yang lebih gemilang di masa hadapan. Thank You semua!!! Rasa syukur hanya untuk Allah Yang Memberi Segalanya.




MSSM - Acara Berpasukan

Pasukan Boling Lelaki Bawah 12 Tahun hari ini telah muncul antara pemenang pingat MSSM dengan mendapat pingat gangsa. Dibarisi oleh Muhammad Hafiz Darwisy Bin Azhlan, Nyak Ahmad Lukman Bin Nyak Mazlan, Muhammad Mifzal Airil Bin Ahmad dan Syed Amsyar Ghazi B Syed Shaiful Ezam, pasukan ini telah memberikan persembahan yang sangat baik hingga mampu berada di tempat ke-3 daripada 16 pasukan atlit kebangsaan. Walaupun hanya kurang 11 mata daripada naib johan, ia tetap membanggakan Pulau Pinang. Tahniah diucapkan!


Wednesday, August 9, 2017

MSSM - Acara Bergu

Menjelang hari berikutnya untuk Acara Beregu Lelaki Bawah 12 Tahun Kejohanan Boling Tenpin MSSM Peringkat Kebangsaan 2017, atlit ke-3 Pulau Pinang hari ini turun ke gelanggang dengan penuh azam dan semangat yang tinggi. Berbekalkan impian yang jitu, Muhd Mifzal Airil (P15) dan pasangannya Syed Amsyar Ghazi (P16) telah melakukan permainan yang sangat baik. Walaupun tidak mendapat sebarang pingat pada hari ini, tahap permainan mereka sangat dipuji.

Untuk rekod, Muhd. Mifzal Airil telahpun melakukan jatuhan pin tertinggi sebagai rekod peribadinya iaitu sebanyak 184 pin pada game ke-3 dalam kejohanan ini. Ia adalah skor yang tertinggi menyaingi rekod 3 lagi pemain bawah 12 tahun Pulau Pinang dalam acara individu dan beregu. Tahniah diucapkan. Pasangan beregu ini menduduki tempat ke 17 daripada 32 pasangan lain.



Monday, August 7, 2017

MSSM - Acara Individu

Acara Individu Bawah 12 Tahun Kejohanan Boling Tenpin MSSM Peringkat Kebangsaan 2017 hari ini telah membariskan atlit SKBI iaitu Muhd Mifzal Airil dan Auni Sufi. Tepat jam 4.50 petang, Muhd. Mifzal Airil telah bermain sebanyak 4 games bersama 64 orang lagi atlit boling kebangsaan. Manakala Auni Sufi pula telah bermain pada jam 12.00 tengahari dalam blok pertama.

Muhd. Mifzal Airil dan Auni Sufi juga pemain lain bawah 12 tahun pada hari ini tidak mendapat sebarang pingat. Untuk rekod, Muhd. Mifzal Airil menduduki tempat ke-30 (Lelaki B12) sementara Auni Sufi pula menduduki tempat ke-55 (Perempuan B12) daripada 64 orang pemain.