Ubah Tempat Berdiri
Untuk memastikan yang teknik ini berkesan pastikan anda berdiri di tempat yang sama (frame 1) semasa mula-mula membuat balingan. Sebagai contoh, kaki sebelah kanan hendaklah berada di sebelah kiri dot tengah. Setelah berdiri di tempat yang betul, balingan hendaklah di"target" iaitu biasanya iaitu arrow 2 atau 3 dari kanan (ikut kesesuaian). Semasa membuat balingan sila pastikan bahawa balingan hendaklah tepat ke arrow tersebut dan kemudian lihat bagaimana bola itu hook ke arah pin. Jika bola pergi ke arah pocket kiri iaitu pocket pin 1-2 (brooklyn) maka hendaklah ubah kedudukan satu board ke kiri.
Sebaliknya jika bola kurang masuk pocket atau agak light pocket maka ubahkan kedudukan semasa berdiri satu board ke kanan. Jika terlalu banyak sangat tidak masuk, ubah lagi dua board ke kanan.
Anda perlu ingat yang kadang-kadang lane akan berubah (jika bermain dalam tournament besar seperti MSSM) dan anda perlu mengubah semula kedudukan tempat anda berdiri. Kelewatan anda menukar tempat berdiri akan membuatkan pencapaian anda merosot.
Kadang-kadang anda sendiri (sering berlaku) agak lambat dan degil untuk menukar posisi anda walaupun keadaan lane sudah berubah disebabkan anda berfikir ianya disebabkan cara balingan anda dan bukan disebabkan perubahan dalam lane.
Oleh itu amat penting anda selalu melihat bagaimana bola anda bergerak di atas lane setelah anda membuat balingan. Anda perlu ingat bahawa bermain secara hook amat teknikal dan anda perlu senantiasa peka dengan perubahan kepada lane dan bola anda. Di samping anda melihat reaksi bola anda, anda juga boleh melihat reaksi bola orang lain yang bermain hook di lane yang sama untuk anda membuat perubahan segera pada tempat anda berdiri.
Menukar tempat anda berdiri adalah perubahan yang paling mudah untuk meningkatkan tahap permainan anda. Bagaimanapun ini bukanlah satu idea tunggal tentang cara untuk meningkatkan permainanan kerana kadang-kadang anda akan berhadapan dengan situasi di mana anda masih tidak dapat mencari pocket walaupun sudah menukar posisi tempat anda berdiri. Bila ini berlaku maka anda haruslah melakukan perubahan dalam faktor-faktor yang lain pula.
Biasanya di lorong-lorong (lanes) yang agak atau telah kering seperti semasa waktu puncak (tiada ada lagi khidmat oiling) ketika anda bermain, anda akan lihat bola anda akan hook terlalu banyak dan selalu tersasar ke pin 2 atau 4 dan kadang-kadang ke pin 7. Lebih mengecewakan kalau bola terus menjunam ke longkang. Untuk berhadapan dengan situasi itu, anda hendaklah mengubah posisi anda berdiri (4/5 board ke kiri) dan masih menggunakan target ke arrow 3 dari kanan.
Bagaimanapun oleh kerana anda sekarang berdiri agak jauh dari target anda, maka ada ketikanya anda dapati tangan anda terbuka (mengepak) dan bola terlalu ke kanan dan ada juga terus ke longkang (kanan). Ini bermakna ruang untuk kesilapan adalah amat kecil (small margin of error) dan anda kena menumpukan sepenuh perhatian supaya anda tidak tersasar dari target anda. Tumpukan sepenuh perhatian anda pada arrow target anda dan untuk lebih accurate gunakan dot yang lebih hampir dengan foul line. Untuk itu, selalulah gunakan board di atas dot yang sama sebagai target anda untuk lebih accurate. Jangan gunakan pin sebagai target kerana ia jauh dari foul line dan tidak sesuai digunakan sebagai target.
Pastikan juga, setelah selepas setiap balingan anda, perhatikan di mana bola anda jatuh untuk memastikan "targeting" anda itu tepat dan tangan anda tidak mengepak. Jangan campak bola anda kerana walaupun bola jatuh atas arrow/dot target anda, kemungkinan bola akan lari dari target. Untuk tidak menghempas/mencampak bola tundukkan dan rendahkan badan anda semasa anda membuat balingan (delivery).
Selamat mencuba !
No comments:
Post a Comment