Monday, February 21, 2011

MSSPP : HARI 1


Kejohanan Tenpin Boling MSSPP 2011 (Daerah Seberang Perai) secara rasminya membuka tirai pada hari ini dengan penglibatan hampir 14 buah sekolah. Namun bagi warga SKBI, kejohanan hari pertama ini hanya bermula dengan langkah lesu apabila kesemua peserta terpaksa pulang dengan tangan kosong. Ini adalah kali pertama dalam sejarah boling SKBI apabila kesemua peserta gagal mempamerkan persembahan seperti yang diharap-harapkan.

Ibarat anak kucing kehilangan ibunya, mereka masih terkapai-kapai dalam mencari rentak walaupun permainan telah berlangsung sejam lamanya. Pemain rata-ratanya seperti terkejut ataupun berasa takut apabila berhadapan dengan pemain-pemain daripada sekolah lain. Mereka seolah-olah seperti sedang bermimpi atau hilang arah apabila dilihat sering kali melakukan kesilapan ketika melancarkan bola. Walaupun latihan demi latihan telah diberikan, tahap penguasaan mereka masih jauh berbanding dengan peserta-peserta lain.

Dalam pada itu, terdapat juga pemain SKBI yang beraksi agak cemerlang apabila berjaya menjatuhkan pin sebanyak 137 (Ahmad Izzat), 131 (Hanie Qistina) dan 115 (Iman Najmi) untuk satu game. Tetapi mata yang diperoleh itu hanya untuk satu pusingan sahaja sedangkan pusingan-pusingan lain mereka hanya mengumpul kurang dari 100 mata. Dalam erti kata lain tahap konsistensi yang diperlukan untuk setiap pusingan hancur berkecai dan tidak menjadi. Jika dicampur dengan jumlah keseluruhan pusingan iaitu sebanyak 4 pusingan, pemain tersebut masih jauh ketinggalan dan hanya melayakkan mereka untuk menduduki tempat ke 12 (terbaik SKBI) bagi perempuan dan 16 bagi lelaki.

Hakikatnya, tiket untuk bermain dalam acara MASTER mungkin terpaksa dilupakan. Kini yang tinggal hanyalah acara bergu dan berpasukan. Justeru, guru-guru hanya boleh berdoa dan memberi sokongan serta tunjuk ajar yang sepatutnya dan terserah kepada pemain sendiri sama ada mahu berubah dan melakukan yang terbaik ataupun terus melepaskan peluang yang terbentang luas di depan mata.

No comments:

Post a Comment