Friday, April 20, 2018

Bermain Boling Dengan Dua Tangan

PERNAHKAH anda melihat orang bermain boling dengan menggunakan kedua belah tangan?. Ya, jika pernah anda sememangnya peminat tegar sukan boling kerana orang yang tiada minat seringkali tidak ambil peduli atau perasan dengan teknik ataupun stail yang digunakan pemain tersebut semasa bermain.

Sebenarnya dalam sukan boling tiada peraturan khusus yang menggariskan tentang keharusan menggunakan satu tangan ketika membuat balingan ataupun cara balingan yang tetap. Asalkan anda mampu bermain tanpa membazirkan satu pin pun untuk terpacak di hujung lane, permainan itu sudah boleh dianggap berjaya. Mungkin dari segi teknik ia dipandang sebagai tidak profesional, tapi itu cuma tanggapan dan persepsi orang.

Semasa perlawanan boling di Amerika, seorang pemain bernama Jason Belmonte (info lanjut - https://en.wikipedia.org/wiki/Jason_Belmonte) telah melakukannya. Seorang lagi pemain dua tangan dikenali sebagai Osku Palermaa (info lanjut - https://en.wikipedia.org/wiki/Osku_Palermaa) turut menggunakan teknik ini.

Tips-tips untuk bermain cara ini boleh ditemui di laman berikut ( http://www.bowlingthismonth.com/bowling-tips/training-two-handed-players/ ).


Tuesday, April 17, 2018

STAIL DALAM BALINGAN BOLING

Dalam permainan boling, terdapat banyak gaya ataupun stail yang dipamerkan oleh para pemain. Antaranya adalah stoking, spinning, tweening dan lain-lainnya.

Stroking
Stroking adalah gaya secara bola dilepaskan dengan lancar. Kebiasaannya penggaya ini akan mempastikan bahu mereka selari dengan garisan foul dan backswing mereka tidak terlalu tinggi. Mereka yang menggunakan gaya stroker lebih mementingkan ketepatan berbanding kuasa yang dilepaskan.
                       
Cranking
Untuk menghasilkan revolusi dari jenis gaya cranker, pemain boling pada kebiasaanya akan banyak bergantung kepada pergerakan pada pergelangan tangan. Mereka akan menggunakan backswing yang tinggi dan menjarakkan bahu mereka untuk mendapatkan kelajuan bola yang diperlukan.

Tweening
Tweening adalah gaya yang berada di antara stroking dan cranking. Mengadunkan gaya dari stroking dan cranking boleh dilakukan. Power stroking adalah antara variasi tweening  yang mana kelajuan dan revolusi bola boleh dihasilkan dari gaya cranking dan dengan gaya yang lancar seperti menggunakan gaya stroking.

Spinning
Gaya yang popular di Asia adalah spinning iaitu bola akan bergerak tegak tetapi berputar pada axis X. Matlamat spinning adalah supaya bola boleh bergerak tegak sehingga menyentuh pin satu (1). Putaran bola pada axis X akan menghasilkan pergerakan bola ke arah yang berlawanan dan menyebabkan pin berlaga sesama sendiri.

Shoveling
Teknik ini dilakukan pemain dengan cara ibu jari tidak dimasukkan ke dalam lubang. Ia menghasilkan revolusi yang amat tinggi dan selalunya mereka menggunakan kedua–dua belah tangan atau distabilkan menggunakan lengan apabila pemain boling tersebut menggunakan backswing dengan siku yang dibengkokkan.

Thursday, March 15, 2018

Tatacara Permainan Boling

Walaupun permainan boling adalah lebih kepada permainan yang bersifat santai, ia tetap mempunyai peraturan dan tatacara tertentu yang harus dihormati. Ia dirangka bagi membantu pemain untuk lebih berdisiplin serta melancarkan permainan mereka.

Berikut adalah beberapa tatacara yang harus diikuti oleh para pemain :


Dapatkan buku atau info di tempat boling anda (jika ada) atau layari internet untuk mengetahui peraturan khusus di tempat anda bermain.












Anda disarankan hanya mengenakan kasut khas boling semasa bermain bukannya kasut jalanan. Kasut ini boleh disewa atau anda membawanya sendiri jika ada.











Jangan membuat balingan tanpa melihat terlebih dahulu ke arah pin. Terkadang pemain terus membuat balingan semasa mesin masih memproses pin yang boleh mengakibatkan berlaku pelanggaran bola pada penghadang muka pin.









Beri laluan kepada pemain bersebelahan anda untuk melakukan balingan terlebih dahulu tanpa melakukannya secara serentak. Ataupun, anda  membiarkan dia membuat balingan jika dia terlebih dahulu mempersiapkan diri ke arah itu.










Jangan meletakkan kaki anda melewati garis busuk (foul line) sekalipun anda bermain secara santai. Harus diingatkan bahawa boling juga diklasifikasikan sebagai sukan olahraga yang berprestij tinggi. Oleh itu, bermainlah secara profesional berbekalkan semangat kesukanan yang tinggi.









Bola boling hanya boleh digolekkan di atas permukaan lorong boling sahaja. Jangan melontar, melempar atau melambungkan bola itu kerana ia boleh merosakkan lane dan bola itu sendiri.










Jangan bermain atau menggolekkan bola di lorong pemain lain. Bermainlah di lorong anda sendiri. Jika bermain secara cross lane, anda harus mempastikan lorong yang betul berdasarkan nama anda dan anak panah yang ditunjukkan oleh skrin.









Mintalah izin jika anda ingin menggunakan bola milik pemain lain.













Tidak membuat bising atau mengganggu pemain lain ketika mereka sedang bermain. Kendalikan ucapan anda dengan sebaiknya serta berusahalah untuk tidak melakukan provokasi dan sebagainya.










Bersiap sedialah apabila tiba saat anda melakukan balingan. Jangan bermain secara "slow bowling" lebih-lebih lagi jika anda bermain dalam sesebuah kejohanan.











Berusahalah sedaya upaya untuk mencatat skor tertinggi dalam setiap permainan walaupun boling lebih mementingkan disiplin iaitu "skill not score".

Sunday, February 11, 2018

5 Tips Persediaan Untuk Bermain : 5 Jenguk Lorong Anda

Tentukan lorong anda sebelum memulakan permainan. Di sesetengah tempat boling, anda dibenarkan memilih untuk berada di lorong pilihan anda. Itupun jika keadaan lorong tidak sesak dengan para pemain atau anda memang seorang ahli berdaftar yang dibolehkan berbuat demikian.

Ia amat digalakkan kerana anda dapat bermain dengan lebih "enjoy" dan jauh dari orang yang mungkin boleh menyebabkan gangguan atau kebisingan. Jika tidak perlu, anda boleh saja duduk di mana-mana lorong yang diberikan oleh pihak boling walaupun keadaan di situ penuh dengan riuh rendah serta sorakan penonton dan sebagainya dan anda telahpun terbiasa dengan situasi itu.


Friday, February 9, 2018

5 Tips Persediaan Untuk Bermain : 4 Dapatkan Bola Yang Sesuai



Pilih bola yang tepat sebelum anda mula bermain. Ketepatan pemilihan bola tersebut haruslah disesuaikan dengan berat badan anda. Ukuran jari dari segi "muat dan selesa dalam lubang" juga hendaklah diambilkira dalam pemilihan bola.

Anda perlu mencari bola yang beratnya sesuai dengan anda. Kebiasaannya, setiap bola akan dilabel berdasarkan beratnya seperti bola yang tertera angka "8" memberi maksud bahawa beratnya adalah 8 paun (4 kg). Label bola ini hanya terpakai untuk bola di pusat boling itu sahaja iaitu disebut sebagai "houseball". Bagi bola yang dibeli sendiri oleh pemain, label tersebut tidak dicetak di permukaannya.

Di sini diberikan beberapa cadangan dan panduan untuk anda :

1. Berat.

Bola 14-16 paun (7-8 kg) adalah sesuai untuk pemain lelaki dewasa sementara bola 10-14 paun (5-7 kg) sesuai untuk wanita dewasa, Tuntasnya, adalah lebih baik untuk memiliki bola yang lebih berat kerana ia akan membantu momentum dalam permainan anda. Peraturan secara umumnya adalah berat bola seharusnya 10% daripada berat sebenar badan anda. Jika berat badan anda 140 paun (70 kg), anda haruslah menggunakan bola 14 paun (7 kg). Bagaimanapun, terpulang kepada anda untuk menentukan berat bola sesuai dengan kemampuan dan keselesaan semasa bermain.

2. Ukuran Lubang Jari.

A. Untuk ibu jari, anda seharusnya memastikan ia muat dan sedikit sempit untuk lubang yang dikhaskan untuk ibu jari. Harus dipastikan bahawa anda boleh mengeluarkannya tanpa terluka atau tersangkut. Namun begitu, lubangnya juga tidak patut begitu besar sehingga anda boleh menggerak-gerakkan ibu jari di dalam lubang itu semasa memegangnya.

B. Ukuran lubang bagi jari tengah (jari hantu) dan jari manis adalah sama seperti ibu jari cuma cara memasukkannya adalah secara membengkokkan sedikit. Lubangnya adalah di tengah-tengah bola iaitu dua lubang yang terdapat di sebelah satu lubang yang dikhaskan untuk ibu jari.

Nota : Cara ibu jari, jari hantu dan jari manis berada di dalam lubang bola adalah berbeza dari segi kedalaman dan cengkaman mengikut cara pemain bermain dan bola itu sendiri yang digunakan untuk bermain hook, spinner atau straight.

Wednesday, February 7, 2018

5 Tips Persediaan Untuk Bermain : 3 Dapatkan Kasut Yang Sesuai

Dapatkan kasut boling. Itulah yang sepatutnya dilakukan sebelum anda memulakan permainan. Jika anda sebagai orang baharu dalam sukan ini, anda boleh mendapatkan kasut boling dengan cara menyewa di tempat boling.

Namun, jika anda ingin meningkatkan prestasi permainan ke tahap yang lebih baik dan yakin, kasut boling sendiri kepunyaan anda harus dimiliki.

Satu perkara yang harus diingatkan bahawa kasut yang selain kasut khas yang digunakan di tempat bermain boling seperti kasut jalanan adalah sangat tidak sesui untuk dipakai. Ini adalah kerana ia direka bukan untuk berada di tempat boling bahkan boleh menyebabkan kerosakan yang bakal terjadi di lantai permainan. Lebih teruk lagi, ia boleh membawa kecelakaan kepada anda jika anda terseret ataupun tergelincir serta boleh mencederakan diri disebabkan permukaan bawah kasut yang tidak licin serta tidak mempunyai kriteria kasut yang dikhaskan untuk boling seperti boleh meluncur dan sebagainya.

Dalam pada itu, dengan tidak memakai kasut boling yang ditetapkan anda boleh atau telah dengan sengaja merosak dan meninggalkan kesan di lantai boling. Sewa kasut boling jika anda tidak mahu berhadapan masalah dengan pusat boling dek keengganan anda itu. Akhir sekali selepas anda mendapatkan kasut yang sesuai, anda haruslah memakai stokin bagi mengelakkan keseronokan bermain terbantut kerana kaki yang melecet.

Monday, February 5, 2018

5 Tips Persediaan Untuk Bermain : 2 Bertanya Di Kaunter

Langkah kedua apabila anda telah membuat keputusan untuk bermain di sesebuah venu yang dipilih adalah bertanya di kaunter sama ada anda boleh bermain ataupun tidak. Terkadang di sesuatu tempat boling itu, gelanggang ditutup untuk memberi laluan kepada kejohanan dan sebagainya hingga menyebabkan anda terhalang untuk bermain.

Jika anda dibenarkan untuk bermain, maka anda bolehlah bermain secara berseorangan ataupun berduaan atau beramai-ramai andai anda datang bersama satu kumpulan yang besar.

Dalam pada itu, anda juga boleh menyertai kumpulan lain yang anda tidak kenali untuk bermain bersama mereka. Namun sebelum itu, anda harus pastikan mereka tidak bermain secara ataupun terlalu kompetetif kerana anda mungkin baharu dalam sukan tersebut. Jika tidak, ayuhlah berentap bersama mereka kerana mungkin anda boleh mendapatkan kenalan baru dengan cara itu.